Tok Mat puas hati perkembangan pembinaan kapal LCS

0
2

KEMENTERIAN Pertahanan berpuas hati berhubung perkembangan terkini proses pembinaan kapal tempur pesisir (LCS).

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pembinaan kapal-kapal tersebut menepati masa ditetapkan secara berperingkat mengikut kesesuaian masing-masing.

Jelasnya, sebuah daripada enam kapal yang bakal siap dan boleh mula beroperasi pada tahun hadapan.

“Untuk kapal pertama, ia telah 70 peratus (siap). Tinggal satu blok sahaja yang perlu dilengkapkan, ia tidak ambil masa. Bahagian enjin, baling-baling, kotak gear telah dimasukkan, tinggal peralatan elektrik dan kemudiannya senjata.

“Saya yakin, kapal pertama ini akan siap pada 2024 sebelum ujian di peringkat pelayaran di laut dan kemudiannya ditauliahkan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan ke pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut, hari ini.

Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pertahanan.

Ditanya mengenai status kapal lain, Mohamad menjelaskan, setakat ini berada pada tahap antara 22 hingga 48 peratus siap mengikut kesesuaian masing-masing dari segi pemasangan peralatan elektrik, elektronik, persenjataan dan beberapa perkara teknikal lain.

“Saya dimaklumkan, kapal-kapal lain mengambil masa dua hingga tiga tahun untuk disiapkan. Ada yang perlu diperiksa dari segi bocor, artileri dan ECU (unit kawalan elektronik).

“Harapan kita agar semua masalah sebelum ini selesai. Ini termasuk isu dengan orang tengah yang kini di peringkat akhir untuk diselesaikan iaitu selepas ini kita akan terus berurusan dengan vendor sahaja.

“Ada juga yang bertanya kenapa teruskan projek LCS ini (dalam status ketidaktentuan ekonomi negara), jawapan saya mudah iaitu hal kedaulatan dan pertahanan negara tidak boleh dikompromi. Anda boleh katakan apa sahaja yang anda suka namun Kementerian Pertahanan tetap fokus dalam hal ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad yang turut melawat perumahan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di situ termasuk untuk TLDM dan kakitangan awam, berkata, perumahan berkenaan akan ditambah baik secara berperingkat.

“Dijangkakan kesemua 39 blok perumahan ini akan ditambah baik untuk manfaat kira-kira 25,000 orang ini. Saya minta hal ehwal anggota ini turut diberi keutamaan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here