KERAJAAN Arab Saudi sudah dimaklumkan mengenai hasrat Malaysia yang mahu kuota rasmi jemaah haji negara untuk musim ibadah tahun ini kembali seperti jumlah sebelum dunia dilanda Covid-19.
Perkara itu dimaklumkan sendiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar pada satu persidangan di Jeddah, Arab Saudi.
Menerusi hantaran di Facebook miliknya, Mohd Na’im berkata, pihaknya telah mengadakan satu mesyuarat khas dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabia, hari ini.
“Saya mewakili negara menghadiri Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023 atas undangan Kerajaan Arab Saudi.
“Saya telah mengadakan mesyuarat khas bersama Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabia.
“Syukur Alhamdulillah, pertemuan berlangsung dengan penuh harmoni dan positif khususnya membincangkan aspek persiapan Musim Haji 1444H.
“Antara topik perbincangan adalah berkenaan jumlah asal kuota rasmi jemaah Haji Malaysia yang sebelum ini dikurangkan akibat Covid-19,” katanya.
Arab Saudi tahun lalu menghadkan kuota semua negara luar kepada hanya 45 peratus daripada jumlah sebelum itu susulan kebimbangan penularan Covid-19.
Langkah tegas itu menyaksikan cuma sejuta jemaah berbanding sebelum pandemik yang merekodkan lebih 2.5 juta orang dengan larangan untuk individu berusia 65 tahun ke atas.
Tahun lepas, Malaysia memperoleh kuota 14,306 jemaah daripada asalnya 31,600 orang yang ditetapkan tiga tahun lalu sebelum pintu sempadan Arab Saudi ditutup pada awal 2020.
Bagi melicinkan perjalanan pengurusan haji jemaah Malaysia, Mohd Na’im berkata, pihaknya telah meminta kerajaan Arab Saudi memaklumkan kos mengerjakan haji tahun ini dimaklum awal.
“Bagi memastikan pengurusan haji Malaysia kekal terbaik dalam menguruskan jemaah haji, saya turut memohon agar kos-kos yang melibatkan urusan haji di Tanah Suci pada tahun ini dapat dimaklumkan lebih awal.
“Saya telah memberikan penegasan bahawa Tabung Haji (TH) akan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada bakal jemaah Haji Malaysia dan akan sentiasa mematuhi ketetapan daripada Kerajaan Arab Saudi,” katanya. – Malaysiapost

