KERAJAAN Persekutuan akan bekerjasama erat dengan Kerajaan Sarawak untuk memajukan pembangunan bidang sukan dan belia negara.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata terdapat banyak cara di mana Kerajaan Persekutuan boleh mendapat manfaat daripada kerjasama yang lebih kukuh dengan Sarawak, khususnya dengan meneroka kepelbagaian budaya diamalkan di negeri itu.
“Pagi ini saya mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg.
“Dalam pertemuan itu, kami membincangkan kemungkinan kerjasama yang lebih erat antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak dalam bidang belia dan sukan,” katanya menerusi Facebook.
Hannah berkata, Sarawak juga mempunyai reputasi yang kukuh dalam sukan akuatik yang boleh menjadi ikutan di negeri-negeri lain.
“Sarawak juga telah membangunkan strategi digital yang baik melibatkan pembabitan belia yang boleh dipelajari oleh Kerajaan Persekutuan. Ini adalah aspek yang boleh kita pelajari dalam memajukan lagi bidang belia dan sukan.
“Dalam semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) saya juga merancang untuk melawat Sabah dan Sarawak dengan lebih kerap bagi memastikan kita bekerjasama rapat,” katanya. – Malaysiapost

