Jokowi, Anwar bincang 6 isu utama

0
1

PRESIDEN Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) menyatakan enam perkara utama ketika menerima kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Kepresidenan Bogor, Indonesia, hari ini.

Beliau menzahirkan rasa hormat terhadap Anwar yang menjadikan Indonesia sebagai negara pertama yang dikunjungi selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

“Dalam pertemuan hari ini saya menyampaikan beberapa hal. Pertama saya menyambut baik minat pelabur-pelabur Malaysia dalam pembangunan Ibu Kota Negara (IKN) yang baharu, Nusantara.

“Sebanyak 11 Surat Minat (LOI) ditandatangani sektor swasta Malaysia dan diserahkan kepada pihak berkuasa IKN membabitkan bidang elektronik, kesihatan, pengelolaan peparitan, kumbahan dan hartanah.

“Selain itu juga terdapat memorandum persefahaman (MOU) di bidang perkapalan, pembiayaan import dan eksport, tenaga hijau, industri perdagangan dan lain-lain yang turut ditandatangani,” katanya dalam pernyataan bersama dua pemimpin berkenaan selepas pertemuan di Istana Bogor, hari ini.

Jokowi berkata, perkara kedua adalah beliau menyambut baik komitmen Anwar dalam memberikan perlindungan pekerja warga Indonesia.

“Saya sangat berharap sistem satu saluran untuk merekrut dan penempatan pekerja migran Indonesia dapat dilaksanakan bersama.

“Saya juga mengulangi permintaan tentang pentingnya pembangunan pusat pembelajaran komuniti di Semenanjung Malaysia untuk pendidikan anak-anak pekerja warga Indonesia,” katanya.

Beliau berkata, perkara ketika yang dibincangkan adalah mengenai persempadanan darat dan laut kedua-dua negara.

“Kami telah bincang dan sepakat agar MOU persempadanan darat Segmen Sebatik dan Segmen Sinapad-Sesai dapat ditandatangani tahun ini dan juga perjanjian laut di Wilayah Laut Sulawesi dan di Selat Melaka bahagian Selatan.

“Keempat saya amat menghargai dukungan Malaysia terhadap perjanjian Penyesuaian Area Navigasi Penerbangan (FIR) antara Indonesia dengan Singapura. Dengan dukungan ini proses berikutnya akan dapat dilanjutkan.

“Kelima, kami juga sepakat meneruskan kerjasama untuk meningkatkan pasaran minyak kelapa sawit dan memerangi diskriminasi terhadap kelapa sawit,” katanya.

Jokowi berkata, perkara keenam adalah mengenai usaha untuk terus memperkuatkan ASEAN dalam memainkan peranan utama untuk menjadikan kawasan Indo-Pasifik yang damai, sejahtera dan stabil termasuk isu Myanmar.

Sementara itu, Anwar berterima kasih atas sambutan yang diberikan oleh Jokowi dan menyifatkan kunjungannya bukan sekadar hubungan diplomatik biasa, sebaliknya agak sentimental.

“Indonesia mendapat tempat khusus di sanubari saya. Saya belajar, mendapat pengalaman dan menimba banyak ilmu di Indonesia.

“Indonesia menyambut kita sebagai sahabat sejati. Tidak mungkin kita lupakan orang yang sedia membantu kita, menunjukkan ramah dan menyayangi dalam keadaan kita terbuang di arus perkembangan di Malaysia,” katanya.

Beliau dalam pada itu menegaskan akan cuba menghindari isu-isu yang boleh meregang dan meretakkan hubungan kedua-dua negara, sebaliknya mahu hubungan Malaysia dan Indonesia berada dalam kategori istimewa. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here