MCA tetap dengan pendirian untuk kekal ‘berdikari’ dan tidak mahu bekerjasama dengan DAP semata-mata untuk berkuasa.
Naib Presidennya, Datuk Seri Ti Lian Ker menegaskan MCA akan meneruskan ‘cara’ mereka sendiri berlandaskan prinsip politik kesederhanaan dan menghormati perlembagaan demi kelangsungan parti itu.
“MCA tidak akan menjadi ‘opportunist’ politik atau mengikut ‘expediency’ atau peluang politik semata-mata untuk berkuasa.
“Segala tindakan kami selama ini adalah berlandaskan prinsip-prinsip politik kesederhanaan dan menghormati perlembagaan, institusi dan tradisi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lian Ker mengulas pandangan seorang ahli akademik yang menasihatkan MCA memihak kepada DAP supaya berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk memenangi kerusi pada pilihan raya negeri akan datang di Pulau Pinang dan Selangor.
Menurut Lian Ker, MCA tidak akan bertindak semata-mata untuk berkuasa atau memberi janji kosong mahu pun menjatuhkan lawan melalui fitnah atau provokasi dan justifikasi politik untuk mencari kesempatan berkuasa.
“Kami tidak akan bertindak mengikut peluang atau kesempatan politik dengan menjatuhkan parti lawan melalui pembohongan , tohmahan atau fitnah dan kemudiannya memohon maaf untuk berkawan semata-mata demi untuk berkuasa,” katanya.
Beliau berkata, MCA adalah sebuah parti yang mempunyai sejarah, organisasi dan jiwa yang besar.
“Seperti mana parti-parti politik lain, kita akan mengharungi pelbagai cabaran dan rintangan politik mengikut edaran masa dan menghormati pasaran politik semasa,” katanya.
Walaupun MCA ketika ini hanya mempunyai dua Ahli Parlimen, namun beliau memberi jaminan parti itu akan terus menyokong dan bekerjasama dengan kerajaan sedia ada demi kestabilan politik.
Lian Ker berkata, partinya boleh mengambil iktibar daripada PKR yang sebelum ini hanya berjaya memenangi satu kerusi pada pilihan raya umum 2004, dan kini menerajui kerajaan. – Malaysiapost

