Mayat penuntut UiTM lemas di Pantai Cherating ditemukan

0
2

Ben Ibrahim

PENUNTUT Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun yang hilang di Pantai Cherating, dekat Kampung Cherating Lama, Pahang, semalam ditemukan kira-kira jam 7.30 pagi tadi.

Mayat Adam Ridhuan Abdul Rejab, 18, ditemui orang awam kira-kira lapan kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan lemas.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap dengan memakai singlet berceloreng hijau dan seluar pendek hitam.

“Mereka kemudiannya menghubungi talian kecemasan 999 untuk memaklumkan penemuan itu.

“Mangsa ditemui di belakang pusat MARDI (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia), Cherating,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Wan Mohd Zahari berkata, pengecaman identiti mangsa sudah dibuat ahli keluarganya dan mengesahkan mayat itu adalah Adam Ridhuan.

“Pemeriksaan awal mendapati tidak ada sebarang kecederaan pada mayat mangsa.

“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk ujian Covid-19 dan proses bedah siasat,” katanya.

Semalam media melaporkan, kejadian membabitkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dikhuatiri lemas selepas dipukul ombak dan dibawa arus ketika melakukan aktiviti riadah di Pantai Cherating.

Mangsa berasal dari Seri Kembangan, Selangor, itu datang ke lokasi terbabit bersama 19 lagi rakannya untuk berehat dan berkelah.

Bagaimanapun rakan-rakan mangsa dilaporkan selamat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here