INSTITUSI pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta yang menghadapi masalah tiada atau kurang capaian liputan internet di kampus mereka hingga membebankan pelajar boleh melaporkan kepada Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD).
Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata, KKD akan mengadakan mesyuarat bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung isu itu bagi mencari penyelesaian mengenainya.
Menurutnya, KKD juga akan bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi untuk memastikan IPT di negara ini mempunyai perkhidmatan rangkaian yang paling baik.
“Kita mengalu-alukan pelajar IPT awam dan swasta yang menghadapi masalah capaian internet atau WiFi di universiti masing-masing supaya berhubung dengan KKD supaya kami boleh mengetahui lebih terperinci mengenainya.
“Kita juga akan adakan mesyuarat dengan MCMC dan syarikat telekomunikasi untuk pastikan kampus IPT mempunyai perkhidmatan rangkaian paling bagus untuk pelajar.
“Kita selalu cakap perkhidmatan rangkaian adalah satu keperluan asas yang diperlukan semua lapisan masyarakat khasnya pelajar, jadi KKD dan MCMC akan bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi untuk pastikan masalah capaian internet ini diatasi segera,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat konti Johor fm dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di RTM Johor di Johor Bahru, hari ini.
Semalam, Eksekutif Umum Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) 2022, Muhammad Noraiman Zulkifli, memaklumkan masalah capaian Internet di IPT, masih tiada jalan penyelesaian walaupun banyak pihak mendakwa kemudahan itu kini semakin baik dan mencapai tahap memuaskan.
Menurutnya, kebanyakan universiti awam menerima nasib yang sama apabila liputan capaian internet sangat tenat dan teruk hingga diibaratkan seperti ‘hidup segan, mati tak mahu’. -Malaysiapost

