Tindakan BN Sabah tarik sokongan bukti wujud gerakan awal dengan Warisan

0
1

TINDAKAN Umno dan Barisan Nasional (BN) Sabah mengumumkan menarik sokongan terhadap Datuk Seri Hajiji Noor membuktikan wujud gerakan awal dibuat bersama Parti Warisan untuk menggugat ketidakstabilan politik negeri itu.

Ia susulan Ketua Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, mengesahkan BN menarik diri daripada kerajaan Sabah selepas hilang kepercayaan terhadap Ketua Menteri.

Demikian menurut Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan; Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee dan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia dalam satu kenyataan hari ini.

“Tindakan ini susulan daripada kegagalan perancangan awal mereka pada 5 Januari 2023.

“Bagaimanapun, pengumuman tersebut tidak memberi kesan terhadap kedudukan semasa Hajiji kerana keabsahan Ketua Menteri ditentukan melalui sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri berpandukan kepada Perlembagaan Negeri.

“Hajiji kekal sebagai Ketua Menteri Sabah dan sebarang kenyataan media parti-parti politik tidak memberikan kesan dari sudut perundangan,” katanya kenyataan itu.

Kenyataan itu turut mengesahkan Adun Sabah daripada GRS berdiri teguh menyokong penuh kepimpinan Hajiji sebagai Ketua Menteri.

Katanya, GRS sebuah parti politik dengan jumlah Adun paling banyak dalam DUN Sabah.

Kenyataan itu berkata, GRS juga menghargai sokongan majoriti Adun lain terhadap Hajiji sebagai Ketua Menteri termasuk daripada sokongan kolektif Adun Pakatan Harapan (PH), BN, Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan) dan Adun dilantik.

“Komitmen padu ini berpaksikan kepada kesedaran bahawa kepentingan rakyat dan negeri seharusnya diutamakan berbanding kepentingan sempit kepartian dan individu. Adalah menjadi tanggungjawab semua untuk menghormati mandat rakyat dalam Pilihan Raya Negeri yang lalu.

“Sebarang gerakan untuk membentuk kerajaan dari pintu belakang dan tidak melalui proses pilihan raya adalah tindakan yang mengkhianati mandat rakyat dan seharusnya ditolak,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, Umno dan BN Sabah mengumumkan menarik diri daripada kerajaan Sabah selepas hilang kepercayaan terhadap Ketua Menteri.

Perkara itu disahkan oleh Bung Moktar selepas mesyuarat parti itu malam tadi.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat susulan tindakan Hajiji yang dilihat melanggar perjanjian persefahaman dengan BN susulan keputusan Ketua Menteri Sabah menamatkan lantikan ADUN BN sebagai pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here