Muafakat Nasional lantik Zuraida, Samthara, Pak Wan sebagai Timbalan Presiden

0
1

PERTUBUHAN Muafakat Nasional (MN) yang diterajui Tan Sri Annuar Musa mengumumkan pelantikan dua bekas Ahli Parlimen PKR dan seorang Bersatu sebagai Timbalan Presiden.

Mereka ialah Datuk Zuraida Kamaruddin dan Edmund Santhara Kumar Ramanaidu, selain Datuk Mohd Redzuan Md Yusof.

Zuraida dan Santhara Kumar adalah ahli PKR yang belot dan terlibat meruntuhkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam Langkah Sheraton pada Februari 2020.

Zuraida, bekas Naib Presiden PKR gagal mempertahankan kerusi Parlimen Ampang pada PRU15 lalu menerusi tiket Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Malah beliau telah dipecat daripada PBM bulan lalu.

Manakala, Santhara Kumar pula bekas ahli Parlimen Segamat yang memenangi kerusi tersebut atas tiket PKR pada PRU14.

Mohd Redzuan yang turut dikenali sebagai Pak Wan pula pernah menganggotai Kabinet PH.

Dalam PRU15 lalu, beliau dicalonkan oleh PN untuk mempertahankan kerusi parlimen Alor Gajah namun kecundang kepada calon PH, Adly Zahari.

Annuar yang dipecat Umno turut mengumumkan seorang lagi tokoh menjadi timbalannya iaitu penceramah dan pensyarah, Datuk Dr Ridhuan Tee Abdullah.

Annuar mengumumkan pelantikan tersebut hari ini selepas mengadakan mesyuarat pertama jawatankuasa tertinggi MN pertama pada tahun ini, lapor FMT.

Annuar juga berkata MN menubuhkan enam kluster bagi memperkuat organisasi tersebut.

Kluster berkenaan ialah ekonomi; sosial dan kebajikan; pendidikan dan kenegaraan; politik dan kepimpinan; belia dan mahasiswa; serta media sosial dan seni budaya.

“Enam kluster dibentuk supaya setiapnya membuat perbincangan susulan dalam aspek yang lebih spesifik,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here