TUJUH Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) yang memberi sokongan kepada Datuk Seri Hajiji Noor bersetuju bahawa kerajaan perpaduan Sabah boleh dibentuk seperti amalan di peringkat persekutuan.
Katanya, ia selari dengan prinsip mereka untuk memastikan kestabilan politik terus mantap di Sabah dan tidak terlibat dalam langkah seperti ‘Langkah Sheraton’.
Tujuh Adun terbabit terdiri daripada Datuk Christina Liew (PKR), Datuk Poon Fung Ming (DAP), Datuk Ewon Benedick (Upko), Jannie Lasimbang (DAP), Phoong Jin Zhe (DAP), Tan Lee Fatt (DAP) dan Peto Galim (PKR).
“Kami berasa amat kesal melihat Sabah sekali lagi berhadapan dengan kemelut politik yang sepatutnya tidak berlaku.
“Kami mengulangi pendirian kami sebelum ini bahawa kami tidak menyokong sebarang usaha untuk menggulingkan kerajaan melalui cara ‘pintu belakang’,” katanya dalam kenyataan media bersama, hari ini.
Kenyataan itu berkata, seharusnya fokus utama adalah memastikan matlamat perjuangan membantu rakyat dan membangun ekonomi.
Kata kenyataan itu lagi, semua pihak sepatutnya berusaha untuk memastikan perjuangan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) direalisasikan selaras dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kami berdoa agar kemelut politik akan berakhir dalam masa terdekat dan kesejahteraan rakyat Sabah terus dibela dengan sokongan ini,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, Umno dan Barisan Nasional (BN) Sabah mengumumkan menarik diri daripada kerajaan Sabah selepas hilang kepercayaan terhadap Ketua Menteri.
Pengerusi Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, keputusan itu susulan tindakan Hajiji dilihat melanggar perjanjian persefahaman dengan BN susulan keputusan Ketua Menteri menamatkan lantikan ADUN BN sebagai pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC). – Malaysiapost

