Situasi politik Sabah tidak jejas Kerajaan Perpaduan – Anwar

0
2

KEMELUT politik kecil yang tercetus di Sabah tidak akan memberi kesan dan menjejaskan kedudukan Kerajaan Perpaduan, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, kemelut terbabit hanya membabitkan pimpinan politik peringkat Sabah.

“Perbincangan saya dengan (Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri) Hajiji (Noor), (Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri) Bung (Radin Mokhtar), (Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Mohd) Shafie (Apdal), jalan terbaik adalah berbincang dan cari jalan penyelesaian yang baik.

“(Kemelut) ini tidak boleh digambarkan keadaannya (mengheret sehingga) di Persekutuan, kerana ini tidak sedikit pun mengubah (kerajaan).

“Setakat ini, tidak ada sedikit pun bayangan (kerajaan Persekutuan akan berubah), melainkan yang disuarakan oleh pembangkang.

“Dulu zaman menjatuhkan (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) dan (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) adalah pengkhianatan dari dalam,” katanya dalam temubual terbitan RTM, malam ini.

Terdahulu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor hari ini mengumumkan Kabinet kerajaan negeri akan dirombak.

Bagaimanapun, perincian mengenai perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

Pada Rabu, Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Masihi Manjun berkata parti itu bersedia untuk membuktikan keabsahan sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu terhadap Hajiji sebagai Ketua Menteri.

Ia susulan difahamkan ada pihak tertentu mendakwa memperoleh lebih separuh sokongan untuk membolehkan kumpulan itu menubuhkan kerajaan negeri baharu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here