IBU kepada pengarah terkenal Syamsul Yusof, Datin Patimah Ismail mendakwa tidak merestui perkahwinan kedua anaknya itu dengan wanita bernama Ira Kazar.
Patimah berkata, dia mengetahui semua masalah dan konflik dalaman rumah tangga yang ditimbulkan anaknya sebelum semuanya tular di media sosial.
“Saya tak reda dan tak terima (perkahwinan kedua Syamsul). Saya baru dapat tahu tadi selepas diberitahu oleh Syamsul. Tapi saya cakap tak reda dan tak izinkan. Dia beritahu saya selepas dia berkahwin,” katanya memetik Harian Metro.
Katanya, Syamsul sebelum ini menafikan menjalin hubungan dan sudah berkahwin dengan Ira.
“Sebelum ini dia tak mengaku. Dia bermati-matian cakap dia tak kahwin. Orang buat fitnah katanya dan mahu saman orang yang buat cerita.
“Namun, hari ini dia mengesahkan segalanya-galanya. Sekali lagi nak tegaskan, saya tak izinkan dan tak reda atas perbuatannya itu,” katanya.
Terdahulu, Patimah menerusi Instagram meluahkan perasaan memohon Allah memberikan yang terbaik terhadap dua cucunya yang juga anak Syamsul.
“Semoga Allah gantikan ‘Ayah’ yang lebih baik untuk cucu-cucu saya,” tulisnya.
Perkongsian ini menerima reaksi simpati dari pengikut agar doanya ini dimakbulkan.
Tidak kurang, ada yang mengucapkan terima kasih terhadapnya kerana menjadi mentua yang baik terhadap menantunya, Puteri Sarah Liyana.
Terdahulu, Syamsul mengesahkan sudah berkahwin dua dengan Ira hari ini.
Syamsul dalam kemaskini video terbaharu di Instagram berkata, pernikahan itu berwalikan bapa Ira yang juga pelakon veteran, Kazar Saisi.
Pengarah itu juga memaklumkan perkahwinan mereka itu berlangsung di Thailand. – Malaysiapost

