Warga Rusia kongsi pengalaman ceroboh Menara Merdeka 118

0
2

SEORANG wanita warga Rusia yang menceroboh Menara Merdeka 118 dengan memanjat ke puncak bangunan pencakar langit itu berkongsi pengalamannya semalam.

Menerusi perkongsian di Twitter miliknya, wanita yang dikenali sebagai Angela Nikolau itu mendedahkan perjalanannya dari awal bagaimana dapat memasuki menara itu tanpa disedari.

Angela turut berkongsi beberapa gambar dan video mengenai perjalanan sewaktu memanjat menara tersebut.

“Saya jatuh hati sebaik sahaja melihat Menara Merdeka 118. Ia bangunan yang menakjubkan di tengah bandar raya dan perlu berkongsi pemandangan itu dengan orang lain,” ciapnya.

Wanita itu memaklumkan dia menyewa sebuah apartmen dengan pemandangan menara yang bagus supaya boleh menjalankan pengawasan dan pemerhatian terhadap bangunan berkenaan sebelum memasukinya.

Angela menceritakan misinya dimulakan dengan melakukan penyamaran iaitu memakai tudung, cermin mata dan seragam pekerja bangunan untuk memastikan identitinya tidak dikesan.

“Saya berlari ke 32 tingkat pertama dan berada dalam keadaan terlalu panas.

“Saya terpaksa baring di atas lantai konkrit dalam keadaan tidak berpakaian untuk menyejukkan diri sedikit dan minum semua air yang ada,” katanya.

Wanita itu juga menceritakan detik cemas apabila dikesan ketika sedang berehat.

“Semasa berehat, saya menyedari bahawa saya telah dikesan dan kemudian mimpi ngeri bermula.

“Saya menjumpai tempat berlindung dalam kotak konkrit kecil di mana saya tidak dapat meregangkan kaki dan perlu menghabiskan lebih dari 20 jam dalam kotak tersebut,” katanya.

Menurut Angela, dia perlu meneruskan misi itu meskipun berada dalam keadaan sukar.

“Jika saya tidak mula bergerak, saya akan terlalu lemah untuk menyelesaikan misi itu.

“Saya perlu kuatkan diri dan mula melakukan sesuatu. Nasib baik pekerja di situ berehat dan saya boleh keluar dan berlari ke puncak menara,” katanya.

Angela memberitahu dia yang memanjat menara setinggi 53 tingkat itu turut memakai memakai beg galas seberat 15 kilogram.

“Selepas saya selesai mendaki, saya tidak merasakan lengan saya dan tidak dapat mengangkatnya,” katanya

Bagaimanapun, dia berkata, semangatnya meningkat semula sebaik melihat pemandangan menara tersebut.

“Saya melihat sinaran matahari dan kecantikan yang luar biasa. Ia adalah keajaiban peribadi saya. Saya bertenaga semula. Semuanya berbaloi,” katanya.

Wanita itu menceritakan meskipun pendakian itu paling sukar dalam hidupnya namun ia adalah suatu pengalaman yang luar biasa.

“Saya tidak pasti saya akan dapat melakukannya lagi tetapi keindahan yang dilihat dan dirakam selain kongsikan dengan anda adalah luar biasa,” katanya.

Baru-baru ini tular gambar pasangan itu, Ivan Beerkus dan Angela Nikolau dari puncak bangunan kedua tertinggi di dunia berkenaan dimuat naik di laman sesawang SkyscraperCity.com.

Pada 29 Disember lalu, polis menerima satu laporan daripada pihak pengurusan Menara Merdeka 118 untuk tindakan lanjut mengenai kes pencerobohan pasangan dari Rusia yang dipercayai memanjat menara terbabit. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here