PERLIS bercadang mengikut langkah kerajaan negeri pimpinan Perikatan Nasional (PN) yang menutup semua pusat judi di negeri masing-masing.
Terbaru, kerajaan Kedah tidak lagi memperbaharui lesen perjudian mulai 1 Januari lalu.
Selain Kedah, Terengganu dan Kelantan telah mengharamkan operasi pusat perjudian.
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, berkata perkara itu sememangnya ada dalam perancangan kerajaan negeri yang kini ditadbir oleh PN.
“Bagaimanapun, buat masa ini saya masih meneliti berhubung aspek peraturan untuk kita (kerajaan negeri) ambil tindakan seterusnya.
“Insya-Allah, jika selesai penilaian itu dan dengan nasihat Penasihat Undang-Undang Negeri, saya akan isytiharkan sesuatu selepas ini,” katanya dipetik Berita Harian.
Mengulas lanjut, Mohd Shukri berkata, langkah penguatkuasaan itu sudah dirancang oleh kerajaan negeri sebaik mendapat mandat daripada rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
“Saya akan pastikan rakyat hidup dalam keadaan aman dan sejahtera tanpa unsur perjudian.
“Jadi, kita akan tunggu dan kaji dulu sebelum langkah berkenaan kita laksanakan,” katanya.
Sementara itu, Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Perlis yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Indera Kayangan, Gan Ay Ling, berkata tindakan itu menyalahi hak asasi manusia.
“Kerajaan negeri seharusnya mengetatkan penguatkuasaan pertaruhan dan perjudian dalam kalangan masyarakat Islam di negeri ini.
“Sepatutnya kerajaan negeri meningkatkan kesedaran tidak bagus berjudi daripada menutup premis judi seperti di Kedah, Kelantan dan Terengganu,” katanya. – Malaysiapost

