Pasangan Rusia ceroboh Menara Merdeka 118 mohon maaf

0
2

SEORANG daripada pasangan Rusia yang menceroboh Menara Merdeka 118 baru-baru ini, hari ini memohon maaf kepada rakyat Malaysia.

Angela Nikolau berkata tindakan mereka memanjat bangunan pencakar langit itu sekadar memenuhi kehendak seni dan karyanya.

Kenyataan itu dimaklumkannya menerusi ciapan di Twitter, ketika menjawab pertanyaan seorang pengguna laman sosial tersebut.

“Saya mohon maaf jika menyinggung perasaan rakyat Malaysia. Itu bukan niat sebenar saya.

“Saya tidak mengharapkan apa-apa selain hanya karya dan seni serta tidak berniat mencetus sebarang konflik atau kebencian. Mohon maaf kepada Malaysia dan rakyatnya,” ciapnya.

Menerusi ciapan berlainan, Angela sebelum ini mendedahkan butiran bagaimana dia dan pasangannya berjaya membolosi kawalan keselamatan dan memperdaya pekerja pembinaan yang lain.

Angela dengan bangganya juga mendedahkan sudah meninjau bangunan itu untuk mengumpul butiran penting dan perancangannya itu termasuk menyewa sebuah apartmen dengan pemandangan Merdeka 118 yang baik selama beberapa minggu.

Butiran didedahkan Angela itu sekali gus mendapat reaksi balas negatif serta kecaman daripada pengguna akaun Twitter khususnya rakyat negara ini.

Sebelum ini tular aksi pasangan warga Russia menceroboh Menara Merdeka 118 dengan memanjat ke puncak pencakar langit berkenaan dikecam orang ramai.

Pasangan yang terkenal dengan aksi memanjat puncak bangunan itu menjadi bualan warga tempatan selepas gambar mereka di puncak menara itu dimuat naik di media sosial. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here