BALU Allahyarham Abam iaitu Nor Hidayah Mohd Ali meminta pelawak Ali Puteh tidak melengah-lengahkan urusan pembayaran ganti rugi yang diputuskan mahkamah berjumlah RM60,000.
Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh Hidayah di laman Instagramnya, dia meluahkan rasa syukur apabila keputusan mahkamah telah memihak kepada dirinya.
“Alhamdulillah syukur pada Allah, keputusan rayuan saman fitnah mahkamah telah diputuskan, juga memihak kepada Hidayah.
“Semoga pihak di sana tidak melengah-lengahkan lagi segala urusan pembayaran mengikut perintah mahkamah yang ditetapkan,” katanya.
Dalam pada itu, Hidayah turut mendoakan agar dia dan anaknya, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey dapat menjalani kehidupan lebih baik selepas ini.
Dia juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan mereka berdua.
“Semoga Dayah dan Hamzah boleh meneruskan kehidupan yg lebih baik dan sempurna selepas ini.
“Terima kasih semua yang mendoakan Hidayah dan Hamzah,” katanya.
Sebelum ini, Hidayah memfailkan saman terhadap Ali Puteh sekeluarga, yang didakwa menjatuhkan maruahnya.
Hidayah dan Abam melangsungkan perkahwinan di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Sabak Bernam pada 8 Disember 2017 dan pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey.
Allahyarham Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar yang juga abang Ali Puteh meninggal dunia pada 10 Februari 2020. – Malaysiapost

