Rafizi sedia ‘berlari’ lebih pantas pacu ekonomi negara

0
2

GENAP sebulan memegang amanah sebagai Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli kini mempunyai gambaran yang mencukupi untuk ‘berlari’ dengan lebih pantas dalam membawa perubahan ketara kepada ekonomi negara mulai Januari ini.

Beliau berkata, apa yang dilakukannya akan ada yang kesannya dapat dirasai segera, ada yang hasilnya hanya dapat dituai dalam setahun, dua tahun dan tahun-tahun yang akan datang.

“InsyaAllah, kalau 10 kami usahakan, kalau pun tidak semua membuahkan 100 peratus hasil seperti yang dirancang, sebahagian besarnya akan mempunyai impak jangka masa sederhana dan panjang kepada negara.

“Ada perkara yang boleh diusahakan supaya hasilnya dirasai cepat, namun kebanyakan perencanaan ekonomi akan mengambil masa lebih setahun, sementara sebahagian besarnya memakan lebih masa,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau mengakui, dalam tempoh sebulan lalu tidak banyak memuat naik kandungan kerja seharian kerana faham kesan perencanaan ekonomi banyaknya akan mengambil masa yang lebih panjang sebelum hasilnya dirasai.

Menurutnya, ia ditambah lagi dengan suasana ekonomi global yang mencabar dan kedudukan kewangan negara yang dilemahkan oleh ketempangan tadbir urus sebelum ini.

“Ada perkara yang boleh diusahakan supaya hasilnya dirasai cepat, namun kebanyakan perencanaan ekonomi akan mengambil masa lebih setahun, sementara sebahagian besarnya memakan lebih masa.

“Sebab itu masa sebulan saya habiskan berjumpa dan berbincang dengan pemegang taruh (stakeholders) utama ekonomi negara. Mereka termasuklah pembuat dasar, pelaksana, pihak swasta dan pemegang taruh lain,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Presiden PKR, berkata secara umumnya, kesemua pihak memahami hala tuju ekonomi yang hendak dibawa Kerajaan Perpaduan iaitu mengalih haluan ekonomi ke arah ekonomi bernilai tinggi.

“Usaha mengekang inflasi banyaknya boleh dilaksanakan di peringkat pembekal seperti mempercepatkan pelaburan berteknologi tinggi dalam sektor makanan, mengawal harga (dengan membayar subsidi), meningkatkan persaingan pembekal (dengan menangani monopoli) dan menambah bekalan (termasuk mengimport).

“Tetapi usaha di sebelah pembekal ini perlu juga diiringi dengan inisiatif di sebelah penawaran, termasuklah mengusahakan kenaikan gaji yang munasabah supaya rakyat tidak merasa terlalu terbeban dengan kadar inflasi semasa dan menggalakkan tabiat pengguna (consumer behaviour) yang lebih sensitif kepada harga agar permintaan adalah lebih anjal,” katanya.

Rafizi turut membidas pembangkang dari Perikatan Nasional (PN) yang menurutnya akan terus mempertikai setiap usaha kerajaan.

“Ada dari kalangan mereka yang memperli konon saya hanya nampak gah semasa pembangkang tetapi tidak berkesan sebagai kerajaan.

“Insya-Allah itu satu cabaran yang saya akan sahut. Cuma bila komen begitu datang dari mereka yang menjadi kerajaan setelah menebuk atap selama 33 bulan, bunyinya nampak seperti meludah ke langit,” katanya.

Menurutnya, selepas lima tahun, beliau akan serahkan kepada penilaian rakyat mengenai prestasinya sebagai menteri dan PKR/Pakatan Harapan (PH) sebagai sebahagian dari Kerajaan Perpaduan.

Sementara itu, menurutnya soal keperluan menganjak ekonomi negara ke arah ekonomi digital berteraskan inovasi, ekonomi yang seimbang dengan kelestarian alam sekitar, aplikasi teknologi yang meningkatkan produktiviti dan kecekapan, memang tidak boleh dipertikai dan ujian sebenar adalah bagaimana hendak menjayakannya.

“Setelah sebulan, ada idea dan pendekatan baru yang saya rasakan akan beri nilai pulang lebih baik bagi setiap satu ringgit wang rakyat yang dibelanjakan kerajaan.

Ada masalah pelaksanaan yang merencatkan prestasi ekonomi dan menyebabkan kenaikan kos yang boleh ditangani. Ada projek-projek berimpak tinggi yang akan memberi isyarat anjakan ekonomi yang diperlukan untuk menarik minat pelabur-pelabur,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here