Jurulatih bola tampar mohon maaf tampar pemain

0
2

JURULATIH bola tampar yang menampar dua pemain remaja perempuan telah membuat permohonan maaf secara terbuka, hari ini.

Saiful Hadee Amar, 44, mengakui kesal dengan apa yang telah berlaku kerana niatnya ketika itu adalah untuk menaikkan semangat dan suntikan motivasi kepada pemain yang telah berjaya melayakkan diri mereka menyertai kejohanan bola tampar bawah 14 tahun di Kota Tinggi, Johor.

Beliau yang juga seorang pendidik bersedia dan reda dengan sebarang tindakan dan keputusan yang bakal dikenakan atas keterlanjuran perbuatannya ketika itu dan berharap insiden itu menjadi pengajaran kepada dirinya.

“Tidak berniat saya untuk mengambil tindakan (menampar) sehingga mendatangkan kecederaan, tindakan saya adalah untuk menaikkan lagi semangat mereka, memotivasikan mereka.

“Saya memohon maaf pada semua pemain terlibat terutama sekali dua pemain yang terlibat, ibu bapa pemain,” katanya kepada media ketika ditemui di bangunan Majlis Sukan Negeri (MSN) Melaka, di Krubong, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, Presiden Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA), Hean Boon Yeow, Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), VP Shanmugam dan Pengarah MSN Melaka, Asri Ninggal.

Media sebelum ini melaporkan tindakan Saiful Hadee menampar dua pemain remaja perempuan bola tampar yang tular di media sosial baru- baru ini.

Jurulatih itu bertindak menampar dua pemain ketika membimbing pasukan Melaka sewaktu Kejohanan Bola Tampar Remaja bawah 14 tahun yang diadakan 16 Disember lalu. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here