Najamuddin Mohd Nor
PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai asas melantik Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalannya dalam Kerajaan Perpaduan.
Ketua Umno Bahagian Beruas Datuk Dr Azhar Ahmad, berkata ia kerana Ahli Parlimen Bagan Datuk itu belum didapati bersalah di mahkamah berhubung 47 kes tuduhan salah guna kuasa membabitkan Yayasan Akal Budi.
Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong juga tidak boleh dipersalahkan kerana memperkenankan cadangan Anwar melantik Ahmad Zahid sebagai TPM.
“Mentang-mentanglah Ahmad Zahid ada kes di mahkamah, jadi 40 kes dah lepas. Kes yang 47 ini sedang dibicara, belum tentu lagi kalah atau menang.
“Apa masalahnya? Selagi orang tu tidak didapati bersalah, beliau layak memegang jawatan, kecuali lah bila mahkamah mengatakan tak boleh esok, barulah tak boleh, barulah gugur.
“Jadi Perdana Menteri melantik orang yang belum didapati bersalah oleh mahkamah.
“Bagi saya tidak ada masalah apa-apa. Anwar dan Agong pun buat keputusan yang betul,” katanya kepada Malaysiapost, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas sindiran bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai fungsi Ahmad Zahid yang sedang hadapi pertuduhan mahkamah lebih tinggi daripada Yang di-Pertuan Agong, baru-baru ini.
Dr Mahathir memetik Artikel 33A Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan “Yang di-Pertuan Agong hendaklah terhenti menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong jika dipertuduh atas suatu kesalahan”.
“Saya membelek Perlembagaan Persekutuan, tiba-tiba saya dapati perbezaan dalam peruntukan di bawah Artikel 33A. Bacaannya seperti berikut: “Yang di-Pertuan Agong hendaklah terhenti menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong jika dipertuduh atas suatu kesalahan”.
“Jelas sekali bahawa dengan hanya didakwa dengan kesalahan sudah dianggap serius hinggakan individu seperti YDP Agong terhenti fungsi-fungsi sebagai YDP Agong,” katanya Dr Mahathir..
Dr Azhar yang juga Senator Dewan Negara berkata, bekas Perdana Menteri itu juga perlu ingat tindakannya melantik Lim Guan Eng menjadi Menteri Kewangan ketika beliau menerajui kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018.
“Tetapi di zaman Tun Mahathir hari tu melantik Menteri Kewangan yang telah dituduh dan dibicarakan mahkamah, boleh pulak dilantik menjadi Menteri Kewangan.
“Barangkali beliau lupa Menteri Kewangan zaman dia tu sedang menghadapi kes mahkamah di Pulau Pinang, kes rasuah.
“Bukan sahaja dilantik jadi Menteri Kewangan, malah kes itu digugurkan. Yang itu macam mana pulak?” soalnya.
Menurutnya, bagi kes Ahmad Zahid pula kesnya tidak digugurkan dan menghadapinya di mahkamah dengan fakta dan bukti yang kini sudah menang 40 kes. – Malaysiapost

