Shahidan dakwa Ahli Parlimen kerajaan sudah terima peruntukan

0
1

AHLI Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim menegaskan dakwaannya mengenai ahli-ahli Parlimen pembangkang tidak menerima peruntukan untuk kawasan masing-masing bukanlah sekadar untuk ‘memancing’ peruntukan.

Beliau berkata, sebaliknya terdapat maklumat bahawa semua Ahli Parlimen dari Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mendapat peruntukan.

“Tetapi hingga ke hari ini tiada peruntukan yang diterima oleh pembangkang terutamanya negeri yang diterajui oleh Perikatan Nasional (PN) seperti Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

“Saya menuntut hak kami sebagai Ahli Parlimen untuk diagihkan kepada rakyat. Jadi tidak wajar apabila duit kerajaan diedarkan secara tidak adil,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau merujuk kepada kenyataan Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan, semalam yang mengatakan dakwaan dibuatnya hanyalah cubaan untuk ‘memancing’ dan menekan Kerajaan Perpaduan agar mereka diberi peruntukan sama.

Shahidan berkata, manifesto Pakatan Harapan (PH) juga iaitu menyatakan untuk memberi peruntukan sama rata untuk semua Ahli Parlimen.

“Saya tidak perlu mendengar penjelasan dari Ahli Parlimen Hulu Langat. Ini kerana saya merasakan penjelasan beliau sesuatu yang tidak layak.

“Saya hanya perlukan penjelasan dari Perdana Menteri,” tegasnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here