Jawatan Presiden, Timbalan Presiden Umno tak perlu dipertandingkan

0
1

JAWATAN Presiden dan Timbalan Presiden Umno tidak perlu dipertandingkan, kata Timbalan Pengerusi Umno Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Sebaliknya beliau berkata, Umno perlu fokus usaha pengukuhannya selain mengembalikan semula kepercayaan rakyat.

Beliau juga mengingatkan ahli parti tidak terpedaya dengan sesetengah Ahli Parlimen yang menang kerusi di bawah tiket Umnk namun khianat dan bersekongkol dengan pihak lawan.

Beliau mendakwa, Ahli Parlimen tersebut diketahui telah menggerakkan usaha mengangkat diri mahu menjadi Presiden dan Timbalan Presiden Umno sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Sekali lagi saya tegaskan, usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tak dipertandingkan demi pengukuhan parti, perpaduan dan ke arah usaha pemulihan sokongan terhadap Umno.

“Saya nak ingatkan ahli Umno supaya tak terpedaya dengan sesetengah Ahli Parlimen parti yang menang bawah tiket Umno namun selepas menang melupakan parti, macam kacang lupakan kulit.

“Bukan sahaja ada yang melompat malah lebih teruk, khianat kepada parti dan bersekongkol dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

“Baik kita fokus macam mana nak kukuhkan kembali Umno dan mengembalikan semula kepercayaan rakyat selepas parti difitnah teruk selama ini.

“Lagipun dengan kedudukan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pembangunan Desa dan Wilayah, ia platform terbaik untuk dekati dan membina semula keyakinan penduduk luar bandar terhadap keupayaan Umno membela rakyat,” katanya hari ini.

Pemilihan Umno dijangka diadakan pada pertengahan tahun ini.

Sementara itu, Nur Jazlan mempersoalkan siapa calon yang mahu diangkat menjadi Presiden dan Timbalan Presiden jika kedua-dua jawatan dipertandingkan.

“Kalau nak buat pertandingan pun, kita nak angkat siapa jadi Presiden, Timbalan Presdien baharu. Kita nak harapkan orang pengecut yang paling awal lari lintang pukang selepas Umno kalah pada PRU14 dulu atau nak bergantung kepada orang yang gagal jadi Perdana Menteri Kesembilan atau kita nak serahkan nasib parti kepada orang yang sibuk jadi broker dan selama ini nak jual maruah Umno kepada parti lawan.

“Umno nak pilih seorang individu yang bergegar-gegar mahu ganti tempat Presiden ketika berceramah di kempen PRU15 tapi akhirnya kalah di negeri liberal. Sudahlah dia ditolak di negeri sendiri, lepas itu diberi peluang bertanding di negeri lain kononnya dia cukup popular tapi tumbang juga.

“Kita kena fikirkan banyak benda sebelum nak ikut emosi. Cakap nak tukar pemimpin memang senang tapi nak pastikan pemimpin yang baharu angkat itu dapat bela nasib parti, belum tentu,” katanya.

Nur Jazlan berkata, pertandingan dua jawatan utama itu dalam keadaan sekarang hanya akan membawa perpecahan dan menggugat perpaduan ketika Umno dalam proses pemulihan selepas PRU15. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here