Hajiji sahkan 4 Ahli Parlimen sudah jawab petisyen kepada Speaker

0
1

EMPAT Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah menghantar jawapan kepada Speaker Dewan Rakyat berhubung isu dakwaan kekosongan empat kerusi Parlimen oleh Bersatu Sabah.

Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor berkata Yang Di Pertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul akan membuat pertimbangan terbaik sebelum memutuskan status empat Ahli Parlimen berkenaan.

“Terpulang kepada Speaker Dewan Rakyat membuat keputusan. Mereka (Bersatu) sudah menghantar petisyen dan pihak kita empat Ahli Parlimen itu juga telah hantar jawapan atau petisyen kepada Speaker.

“Banyak spekulasi, tetapi kita di dalam tahu rentetan, keadaan dan yang berlaku.

“Jadi kalau kita di luar kita dengar macam-macam, begini begitu, tetapi saya yakin Speaker akan buat keputusan terbaik kerana mereka sebenarnya sudah memenuhi tidak terlibat dalam Akta Anti Lompat Parti,” katanya memetik Astro Awani, hari ini.

Ketua Menteri Sabah itu berkata demikian ketika ditanya perkembangan mengenai tindakan Bersatu menghantar notis berkaitan kekosongan empat kerusi Parlimen baru-baru ini.

Ditanya perkembangan parti baharu yang akan disertai bekas ahli Bersatu itu, Hajiji yang juga bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah berkata, perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Kamu tunggu saja dalam masa terdekat ini, kita akan umumkan nanti,” katanya.

Ahad lalu, media melaporkan Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee memaklumkan Bersatu telah menghantar notis kekosongan luar jangka dalam kalangan ahli Dewan Rakyat menurut Perkara 49A(3) kepada Speaker Dewan Rakyat.

Notis itu bagi memastikan bekas empat Ahli Parlimen Sabah Bersatu yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di bawah logo GRS mengosongkan kerusi mereka. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here