Survelan Covid-19 melalui air kumbahan dijalankan sejak Jun lalu – Dr Noor Hisham

0
1

MALAYSIA sudah mula menjalankan survelan persekitaran Covid-19 menggunakan air kumbahan sejak Jun 2022 yang bertujuan sebagai survelan sokongan sejajar dengan Fasa Peralihan ke Endemik negara.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata objektif survelan itu bertujuan sebagai amaran awal melalui pengesanan kehadiran virus SARS-CoV-2 dalam sampel air kumbahan.

Menurutnya, selain itu ia memberi gambaran tren kepekatan virus SARS-CoV-2 dan mengenalpasti varian SARS-CoV-2 yang terdapat dalam komuniti serta memantau keberkesanan intervensi kawalan COVID-19 secara amnya.

Beliau berkata, ia melibatkan sampel dari dari Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) serta lima belas lokasi sentinel bagi mewakili setiap negeri di Malaysia.

“Bagi lokasi sentinel di setiap negeri, sampel air kumbahan diambil dari loji rawatan kumbahan terpilih oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang berkenaan.

“Sebanyak dua atau tiga sampel diambil dari setiap lokasi sentinel setiap bulan mengikut keperluan. Sampel-sampel ini kemudiannya dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) bagi proses pengujian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, bagi sampel dari PMA pula, penilaian risiko dijalankan secara berterusan bagi mengenalpasti negara-negara yang berisiko.

“Hasil penilaian ini, kesemua penerbangan dari negara yang dikenalpasti kemudiannya diteliti dengan lebih lanjut oleh Pejabat Kesihatan (PK) Lapangan Terbang Antrabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Secara amnya semua air kumbahan kapal terbang akan dibawa keluar dari kapal terbang melalui trak ‘lavatory’ ke fasiliti pelupusan sisa kumbahan pesawat (AWDF) dan proses ini diselaraskan oleh pihak pengurusan lapangan terbang,” katanya.

Menurutnya, setelah penerbangan yang disasarkan dikenalpasti, proses persampelan air kumbahan ini dijalankan oleh PK KLIA dengan kerjasama pihak KLIA sebelum air kumbahan ini dilepaskan ke AWDF.

Beliau berkata, sampel-sampel itu kemudiannya dihantar ke MKAK bagi proses pengujian dan persampelan air kumbahan dari pesawat dijalankan sebanyak dua kali seminggu.

“Bagi survelan air kumbahan dari pesawat ini, sebanyak seliter sampel air kumbahan diambil dari pesawat terpilih dan dihantar ke MKAK.

“Sampel air kumbahan yang telah dikumpul dan diterima di makmal akan dijalankan proses konsentrasi virus diikuti proses pengekstrakan RNA virus SARS-CoV-2,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga 31 Disember 2022, MKAK telah menerima sejumlah 330 sampel air kumbahan dengan 29 sampel (8.8 peratus) dari PMA dan 301 (91.2 peratus) sampel dari lokasi sentinel.

“Bagi 29 sampel dari PMA ini, hasil pengujian MKAK menunjukkan 28 sampel (96.5 peratus) mempunyai kehadiran SARS-CoV-2 dengan varian Omicron dan satu masih dalam proses pengujian.

“Daripada 28 sampel ini, 15 daripadanya iaitu 53.6 peratus telah lengkap ujian WGS dan didapati sublineage dominan yang dikesan adalah BA.5, BA.2, BA.2.75, dan BA.2.12.

“Manakala bagi 301 sampel lokasi sentinel, 288 (95.7 peratus) dikesan kehadiran SARS-CoV-2, tiga tidak dikesan manakala 10) masih dalam proses pengujian.

“Daripada 288 sampel positif Omicron ini, 32 (11.1 peratus) telah lengkap ujian WGS dengan sublineage dominan yang dikesan adalah BA.5, BA.2, BA.2.75 dan BA.2.12,” katanya.

Beliau berkata, seiring dengan keadaan semasa, survelan air kumbahan PMA akan turut melibatkan sampel dari negara China bagi membolehkan KKM memantau kemasukan varian SARS-CoV-2 dari negara China. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here