POLIS membuka kertas siasatan berhubung dakwaan individu tidak bertanggungjawab menggunakan barangan milik mangsa tragedi tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Batang Kali.
Dakwaan itu tersebar dalam satu hantaran di laman Facebook.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah, berkata hantaran tular dalam media sosial itu dipercayai dimuat naik seorang ahli keluarga mangsa.
Beliau berkata, hantaran itu antara lain mendakwa terdapat individu tidak bertanggungjawab dikesan menggunakan kad Touch ‘n Go milik mangsa tragedi berkenaan.
“Pada jam 2.47 petang tadi, polis menerima dua laporan berhubung isu tular itu.
“Kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan mencuri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, Suffian berkata, polis meminta orang ramai supaya bertenang dan tidak gusar berhubung isu tular itu.
Sufian juga menasihatkan ahli keluarga mangsa menghubungi polis jika mempunyai isu berkaitan kehilangan barangan milik mangsa.
“Orang ramai diingat tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tidak tepat dan menularkan berita palsu.
“Mereka hendaklah merujuk polis atau pihak berkuasa bagi mendapatkan maklumat tepat. Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor melalui talian 03-60641223,” katanya. -Malaysiapost

