Najamuddin Mohd Nor
SENARIO politik negara sepanjang tahun 2022 dirasakan bagai dibadai ombak yang tidak pernah reda, namun gelora itu akhirnya tenang dengan perubahan luar jangka pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 19 November lalu.
Keadaan itu sekali gus menamatkan ‘kesengsaraan’ politik negara menerusi Kerajaan Perpaduan yang tertubuh pada tarikh keramat 24 November lalu hasil jajaran politik baharu yang pastinya di luar pemikiran rakyat Malaysia.
Ramai tidak menyangka Umno yang mengetuai Barisan Nasional (BN) dapat bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai musuh ketatnya PKR dan DAP.
Menyorot kembali senario politik Malaysia tahun ini, Kerajaan Keluarga Malaysia dipimpin Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah berhempas pulas mempertahankan kerajaannya.
Sebaik sahaja mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 22 Ogos 2021, Ismail Sabri telah memeterai memorandum persefahaman kestabilan politik antara kerajaan dengan pembangkang.
Langkah itu diambil bagi menurunkan suhu politik negara dengan kedua-dua pihak bersetuju PRU-15 tidak akan diadakan sehingga 31 Julai tahun ini untuk kerajaan memberi tumpuan kepada fasa peralihan pemulihan pandemik Covid-19.
Rupanya, ketenangan yang dicari tidak menjelma terhadap parti-parti yang menyokong kerajaan terutamanya melibatkan perseteruan Umno-Bersatu yang seperti tidak ada kesudahan.
Umum mengetahui, Umno yang dipimpin Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah menoktahkan kerjasama dengan Bersatu sebaik Parlimen terbubar sekali gus akan berlawan dengan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu pada PRU-15.
Seawal Januari 2022, timbul desas desus untuk keperluan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor susulan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada PRN Melaka pada November tahun sebelumnya.
Impak daripada kemenangan dua pertiga pada PRN Melaka, Umno dan BN berhasrat untuk mengembalikan kestabilan kepada kerajaan Johor yang ketika itu dilihat goyah dan boleh runtuh pada bila-bila masa sekali gus mendesak PRN Johor diadakan.
Akhirnya, Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor terbubar dengan mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada hujung Februari.
Sama seperti di Melaka, rakyat sekali lagi menyaksikan BN dan Perikatan Nasional (PN) ‘bertempur’ di Johor, namun boleh sebumbung, bermesra dan bermesyuarat dalam Kabinet Ismail Sabri pada masa yang sama.
Pada 12 Mac 2022, BN akhirnya memperoleh kemenangan besar pada PRN Johor apabila menang 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Susulan kemenangan bergaya pada PRN Melaka dan Johor, Umno berpendapat PRU-15 perlu diadakan segera bagi memulangkan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan sekaligus mengembalikan kestabilan politik negara.
Selepas Julai 2022, suhu politik negara kian hangat apabila Umno menerusi pihak tertentu mendesak PRU-15 diadakan segera, namun mendapat bantahan PH dan PN, serta beberapa pemimpin Umno sendiri.
Desakan Umno semakin memuncak apabila bekas Presiden mereka yang juga bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak disumbatkan ke penjara pada 23 Ogos atas kesalahan penyalahgunaan kuasa dalam kes SRC International.
Akhirnya, Ismail Sabri akur dengan desakan partinya dengan membubarkan Parlimen pada 16 Oktober 2022 sekali gus memberi laluan PRU-15 diadakan.
Bagaimanapun, tiga negeri diterajui PH (Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan) dan tiga negeri dikuasai PAS (Kelantan, Terengganu, Kedah) tidak membubarkan DUN bagi mengelakkan mengadakan pilihan raya serentak bersama PRU-15.
Hanya Perak, Pahang dan Perlis yang membubarkan DUN kali ini, manakala Sarawak, Sabah, Melaka dan Johor sudah mengadakan PRN lebih dahulu.
Sejarah akhirnya tercipta apabila buat julung kalinya tiada satu parti yang bertanding memperolehi majoriti mudah iaitu 112 kerusi untuk membentuk kerajaan hingga menyebabkan Parlimen tergantung.
Keputusan PRU-15 menyaksikan PH menang 82 kerusi Parlimen, diikuti PN (74), BN (30), Gabungan Parti Sarawak (GPS)dengan 23 kerusi, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) enam kerusi, Warisan (3) dan selebihnya Bebas.
Berdasarkan pecahan parti, PAS melakar kejutan kali ini apabila menjadi parti politik paling banyak memenangi kerusi Parlimen iaitu sebanyak 49 kerusi.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekali lagi diheret dalam kemelut politik negara dengan menitahkan semua parti politik perlu menubuhkan Kerajaan Perpaduan.
Setelah mengadakan perbincangan khas dengan Majlis Raja-Raja Melayu yang berpuas hati dengan jumlah gabungan yang membentuk Kerajaan Perpaduan, maka Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik Perdana Menteri ke-10 pada 24 November lalu.
Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Anwar mendapat sokongan BN, GPS, GRS, Warisan dan Bebas, sementara PN menolak untuk bekerjasama dan ingin menjalankan peranan sebagai pembangkang.
Akhirnya, impian Anwar menjadi Perdana Menteri Malaysia dimakbulkan meskipun menerusi jajaran politik yang ‘luar biasa.’ -Malaysiapost

