JABATAN Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak memandang serius dakwaan berhubung seorang doktor mencabul pesakit di sebuah hospital di Kuching.
Pengarahnya Dr Ooi Choo Huck, turut mengesahkan satu laporan polis telah dibuat berkaitan dakwaan seorang doktor mencabul pesakit pada 29 Disember 2022.
Beliau berkata, satu tangkapan polis juga sudah dibuat pada hari sama.
“JKN Sarawak amat memandang serius dakwaan yang menyentuh kod etika profesional seorang pengamal perubatan dan sebagai penjawat awam.
“Adalah dimaklumkan kes berkenaan masih dalam siasatan pihak polis. Justeru, orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi sehingga boleh menjejaskan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, JKN Sarawak sentiasa memandang berat berkaitan keselamatan pesakit yang menerima rawatan di semua fasiliti JKN di Sarawak.
“JKN Sarawak berharap agar kejadian ini tidak menjejaskan penerimaan perkhidmatan rawatan di kalangan orang ramai,” katanya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Merbin Lisa, semalam memaklumkan seorang pegawai perubatan lelaki berusia 28 tahun ditahan polis selepas dipercayai mencabul pesakit wanita di sebuah pusat perubatan, Khamis lalu.
Suspek ditahan kira-kira jam 5.30 petang oleh Jabatan Siasatan Jenayah Kuching yang menerima laporan mangsa berusia 34 tahun dan kes mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Dalam laporannya, mangsa mendakwa suspek mencabul kehormatannya ketika sedang menjalani prosedur pemeriksaan secara bersendirian di dalam bilik rawatan. – Malaysiapost

