Bas ekspres bawa 31 penumpang terbalik, 2 cedera

0
2

SEBUAH bas ekspres membawa 31 penumpang termasuk pemandu terbabas selepas dipercayai hilang kawalan dalam kemalangan di kilometer 433, berhampiran Plaza Tol Rawang arah selatan Lebuhraya Utara Selatan, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed, berkata maklumat kemalangan bas ekspres tersebut diterima pihaknya sekitar pukul 1.40 pagi.

“Hasil siasatan kami mendapati bas yang dipandu lelaki tempatan berusia 45 tahun itu membawa 30 penumpang dan dalam perjalanan dari Pulau Pinang menuju ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur.

“Setibanya di lokasi kejadian, bas yang dipandu di lorong paling kiri secara tiba-tiba telah hilang kawalan lalu terbabas ke longkang di sebelah kiri jalan dan seterusnya terbalik ke kiri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zainal berkata, akibat daripada kemalangan itu, dua penumpang telah dibawa ambulans ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan di Zon Hijau.

“Seorang wanita warga Thailand berusia 64 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan warga Indonesia berusia 10 tahun dirawat di Hospital Sungai Buloh kerana mengalami kecederaan ringan.

“Tiada sebarang kecederaan parah direkodkan dan penumpang yang lain telah dibawa ke TBS menaiki bas dari syarikat yang sama sejurus dipastikan semua dalam keadaan sihat tanpa sebarang kecederaan,” katanya.

Bas berkenaan dinaiki 16 lelaki, 12 wanita dan dua kanak-kanak perempuan ketika kejadian berlaku. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here