Peluncur paragliding maut terhempas ke cerun konkrit

0
1

SEORANG pengendali paragliding maut selepas terhempas pada cerun konkrit akibat diterbangkan angin di kawasan Projek Lebuhraya Pan Borneo berhampiran Kampung Keliangau, Manggatal, hari ini.

Lelaki berusia 26 tahun itu sebelum itu berjaya mendarat dan menurunkan seorang penumpang apabila paragliding dinaikinya tiba-tiba diterbangkan angin kuat jam 2 petang.

Mangsa dilaporkan cedera parah akibat terhempas di tembok konkrit sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, memetik Berita Harian.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa dikatakan membawa seorang penumpang meluncur udara menuruni bukit dari kawasan Bukit Kokol, Manggatal dan berjaya mendarat dengan selamat.

Sebaik penumpang diturunkan, mangsa yang belum sempat menanggalkan tali payung luncur udara dibadannya tiba-tiba ditiup angin kuat menyebabkan mangsa diterbangkan sebelum tubuhnya terhempas ke cerun konkrit.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris mengesahkan kejadian berkenaan dan siasatan masih dijalankan.

“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here