KKM saran dapatkan dos penggalak susulan kes Covid-19 di China meningkat

0
1

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) sekali lagi menyarankan kepada semua untuk mendapatkan dos vaksin penggalak susulan perkembangan terkini situasi Covid-19 di China.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata saranan itu terutamanya untuk petugas barisan hadapan dan kumpulan berisiko tinggi.

“Melihat kepada perkembangan terkini di negara China, KKM ingin menyarankan kepada semua untuk mendapatkan dos vaksin penggalak terutamanya barisan hadapan dan kumpulan berisiko tinggi.

“Walaupun terkini kes dalam negara masih terkawal dan menurun, kita perlu mengambil tindakan bersiap siaga,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu, Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan media Selasa lalu, memaklumkan KKM terus mempertingkatkan kesiapsiagaan dan respon bagi menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes dan kematian Covid-19.

Menurutnya, KKM mengambil maklum mengenai situasi semasa perkembangan jangkitan Covid-19 di peringkat antarabangsa, khususnya melalui sidang media terkini oleh pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 21 Disember lalu.

Beliau berkata, dalam sidang media berkenaan pihak WHO menyatakan kebimbangan terhadap perkembangan semasa yang dilaporkan berlaku di China, yang melibatkan peningkatan mendadak kes Covid-19.

Menurutnya, golongan pakar dan penyelidik antarabangsa menjangkakan situasi itu susulan keputusan pihak berkuasa China sekitar awal Disember 2022 lalu untuk melaksanakan kelonggaran terhadap polisi pengurusan pandemik Covid-19.

Dr Noor Hisham berkata, susulan itu KKM mengambil beberapa langkah termasuk meningkatkan peratusan individu yang layak menerima vaksin dos penggalak bagi mengurangkan penularan jangkitan, jangkitan serius serta kematian. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here