Kembalikan ISA jika mahu pinda SOSMA

0
1

PARTI Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) mencadangkan agar Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) diwujudkan kembali dengan pindaan penambahbaikan sekiranya Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dipinda.

Ketua Penerangannya Shahrulufti Shahrif, berkata ia adalah wajar kerana pihak keselamatan memerlukan instrumen yang berkesan, pantas dan tegas demi menjaga keselamatan rakyat dan negara

“SOSMA adalah undang-undang peruntukan bagi langkah-langkah khas dengan tujuan mengekalkan ketenteraman dan keselamatan awam dan untuk perkara yang berkaitan. Akta ini menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960.

“Anggota parlimen DAP RSN Rayer (wakil rakyat Jelutong) menuntut dan menggesa supaya tahanan SOSMA sedia ada dibebaskan dan semua tahanan bawah Sosma perlu dihentikan dengan serta-merta.

“Ini bukti DAP ialah parti yang tidak sensitif dengan keselamatan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, walau bagaimanapun, keistimewaan itu ditindih dengan beberapa peruntukan berkanun lain yang direka untuk memberi polis kuasa penyiasatan yang sangat luas dan memaksa suspek serta saksi memberikan maklumat kepada polis.

“Maklumlah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempertaruhkan nyawa mereka untuk kita setiap hari, tugas yang sukar untuk dilakukan untuk mengekalkan keselamatan awam dan mempertanggungjawabkan mereka yang melanggar undang-undang demi menjaga keselamatan rakyat dan negara Malaysia.

“Jika SOSMA dipinda, PUTRA mencadangkan supaya di kembalikan Akta ISA yg dimansuhkan dulu dengan pindaan penambahbaikan yang dikira wajar,” katanya

Menurutnya, mencegah sebelum terlambat adalah lebih baik dan itulah semangat Akta ISA.

“Sebab itu Singapura masih mengekalkan akta ISA sehingga sekarang dan tidak mungkin akan dimansuhkan.

“Semua kepimpinan parti-parti politik tidak wajar mempolitikan apa sahaja akta yang dilulus untuk pihak polis melaksanakan tanggungjawab demi keselamatan rakyat dan negara.

“Cakaplah apa saja, demokrasi, hak asasi dan keadilan, namun semuanya mengatasi nyawa rakyat yg tidak berdosa jika berlaku huru hara seperti 13 Mei 1969 dulu,” katanya.

Beliau berkata, sekarang ini dengan dunia siber dan internet serta keadaan negara yang berbilang kaum dan agama, terbukti sudah ancaman keselamatan berada seperti api dalam sekam atau telur di hujung tanduk.

“Semasa di adakan libat urus untuk pindaan Akta SOSMA di adakan juga serentak libat urus untuk kembalikan Akta ISA,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here