Ahli PBM dilarang sertai MN

0
1

MANA-MANA ahli Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Muafakat Nasional (MN) akan digantung dan dibatalkan keahliannya.

Itu amaran dikeluarkan Presiden PBM, Larry Sng menerusi hantaran terbaharu di Facebook miliknya.

“Dalam mesyuarat Majlis Tertinggi parti, kita telah memutuskan melarang ahli PBM menyertai Muafakat Nasional.

“Mereka yang didapati berbuat demikian (sertai Muafakat Nasional) akan digantung dan dibatalkan keahliannya,” katanya.

Menurutnya, beliau percaya ia adalah permulaan baharu yang mana parti itu memerlukan pemimpin bersih dan berpengalaman serta ikhlas membawa perubahan positif landskap politik negara.

“Kami tidak akan membawa masuk pemimpin kontroversi daripada parti lain untuk menyertai PBM, sebaliknya memupuk pemimpin baharu dalam kalangan ahli.

“Mereka yang tidak berpuas hati, dialu-alukan untuk pergi,” katanya.

Larry menegaskan, PBM adalah parti yang menyokong Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Parti yang membentuk kerajaan hari ini merupakan sekutu baharu PBM dan kedudukan kerajaan merupakan hala tuju parti,” katanya.

Terdahulu, Larry berkata, beliau akan menjelajah ke seluruh negara pada Januari untuk bertemu dengan pemimpin parti bagi berbincang dan menjelaskan hala tuju parti, selain melantik ketua parti negeri tertentu.

Kelmarin, PBM memecat bekas Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin yang dicanangkan sebagai bakal Presiden parti itu sebelum ini.

Turut dipecat 10 yang lain selepas gagal memberi maklum balas terhadap surat tunjuk sebab yang dikeluarkan, awal bulan ini.

Pada 14 Disember lalu, Zuraida menyertai Muafakat Nasional yang diterajui bekas pemimpin Umno, Tan Sri Annuar Musa. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here