Remaja hilang dari inap desa ditemui selamat, 3 suspek ditahan

0
1
Polis

SEORANG remaja perempuan yang dilaporkan hilang selepas keluar dari sebuah inap desa sejak Ahad lalu, ditemukan selamat malam tadi.

Salsabila Putri Md Nasir, 13, ditemui dalam sebuah kondominium di Seksyen 13, Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki dan wanita masing-masing berusia 19 dan 18 tahun bagi membantu siasatan.

“Susulan itu, polis turut menahan seorang lagi suspek iaitu lelaki berusia 21 tahun di sebuah pasar raya di Seksyen 13 bagi membantu siasatan kes sama,” katanya dalam kenyataan.

Wan Kamarul berkata, pihaknya turut merampas tiga telefon bimbit, sebuah motosikal Yamaha R15 dua baju, dua seluar dan satu topi keledar.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek lelaki mengaku terbabit dalam kes itu.

“Mereka juga mengaku menaiki motosikal bersama ke kawasan berdekatan dengan inap desa berkenaan untuk berjumpa dengan mangsa,” katanya.

Menurutnya, salah seorang suspek lelaki terbabit kemudian bersama mangsa menaiki kenderaan e-hailing, manakala rakannya menaiki motosikal pulang ke kediaman di Seksyen 13 Shah Alam.

“Suspek wanita pula tidak mengaku terbabit dalam kes itu dan berada bersama dua suspek lelaki serta mangsa di lokasi tangkapan.

“Semakan dilakukan mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah,” katanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 361 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, media melaporkan kehilangan remaja perempuan, Salsabila Putri Mad Nasir, 13, selepas keluar dari sebuah inap desa di Taman Salak Maju pada 25 Disember lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here