Razman dicabar ulang dakwaan perkauman di luar Sidang DUN

0
2
Dr Abdul Aziz Bari

KETUA Pembangkang Perak, Razman Zakaria dicabar mengulangi kenyataan ketika berhujah di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mendakwa Pakatan Harapan (PH) meniup api perkauman.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari berkata, dakwaan Razman itu tidak berasas kerana PH tidak pernah memainkan sentimen perkauman, sebaliknya gabungan itu amat menghormati semua peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Jadi saya nak sebutkan, kita menafikan sekeras-kerasnya bahawa kita bermain dengan soal politik perkauman ini. Kita menentang politik perkauman. Jadi ini yang mungkin gagal difahami. Soalan ini gagal difahami oleh saudara ketua pembangkang daripada Gunung Semanggol (Razman).

“Kalau beliau (Razman) betul-betul komited dan sungguh-sungguh untuk menuduh kita, sila ulas di luar, ulang di luar dewan. Jadi kita boleh ambil tindakan sewajarnya.

“Sama ada kita membuat laporan polis, atau mengambil tindakan undang-undang untuk saman beliau,” katanya ketika sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh, hari ini.

Terdahulu, pada sesi perbahasan Bajet Negeri Perak 2023 semalam, Razman berhujah dengan menuduh wujudnya pihak yang meniup api perkauman sekali gus memberi tekanan kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Bagaimanapun ketika Abdul Aziz bangun meminta penjelasan, Razman yang merupakan Pesuruhjaya PAS Perak gagal memperincikan dakwaannya malah meminta perkara itu dirujuk ketika era pemerintahan PH selama 22 bulan.

Mengulas mengenainya, Abdul Aziz berkata, Razman tidak sepatutnya membangkitkan soal-soal yang sensitif yang tidak berasas sebaliknya berbahas soal dasar, perpaduan dan sebagainya.

Katanya, ADUN perlu bertanggungjawab dan tidak membuang masa berbahas di DUN dengan menyebut perkara-perkara yang tidak menggambarkan kepentingan rakyat.

“Tolonglah jangan main isu-isu macam ini supaya Ketua Pembangkang itu lebih dihormati dan lebih berperanan dalam Dewan dengan memperjuangkan nasib serta kehendak rakyat, itu yang kita nak.

“Sebab kita dah berikan kedudukan yang sewajar kepada Ketua Pembangkang, ada pejabat, ada kereta dan semua ada. Jadi maknanya mainkan peranan secara yang konstruktif, yang baik,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here