MAJLIS Perbandaran Selayang (MPS) mengingatkan semua penyedia dan pengendali makanan di Selangor wajib mematuhi arahan pemakaian pelitup muka mulai 1 Januari 2023.
Ia selaras arahan kerajaan negeri yang mensyaratkan pemakaian pelitup muka kepada penyedia, pengendali makanan dan minuman di Selangor berkuat kuasa 1 Januari 2023.
Menurut MPS menerusi satu hantaran di Facebook rasminya, langkah tersebut sebagai salah satu kaedah untuk menjaga kebersihan.
“Tindakan kompaun akan dikenakan kepada mereka yang ingkar arahan tersebut yang menjadi antara syarat bagi kelulusan lesen perniagaan,” katanya.
Keputusan mensyaratkan pemakaian pelitup muka kepada penyedia, pengendali makanan dan minuman di Selangor diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) pada 7 September lalu. – Malaysiapost

