Mesyuarat bulanan DBKL, wakil rakyat bermula tahun depan

0
1

BERMULA Januari ini, mesyuarat bulanan secara tetap akan diadakan antara Datuk Bandar Kuala Lumpur dengan Ahli Parlimen di wilayah itu. 

Mesyuarat itu bakal menjadi platform untuk mendengar permasalahan yang berlaku di ibu negara sekali gus dapat mengadakan perbincangan antara pengurusan tertinggi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan wakil rakyat.

Ia adalah antara satu daripada lima perkara dibangkitkan 

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata, ianya adalah antara satu daripada lima perkara dibangkitkan pihaknya ketika menerima kunjungan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah di pejabatnya di Putrajaya, hari ini.

“Wakil rakyat adalah jambatan penghubung antara agensi kerajaan dan rakyat marhaen.

“Amatlah penting Datuk Bandar dan pihak pengurusan tertinggi DBKL mendengar dan berbincang dengan wakil rakyat untuk mencari jalan mengatasi masalah yang timbul demi kesejahteraan warga Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kor Ming juga menjelaskan, pertemuan itu juga membangkitkan masalah banjir kilat dan DBKL mengenal pasti sebanyak 25 hotspot (titik panas) banjir.

Beliau mengarahkan DBKL mencari penyelesaian tuntas bagi mengatasi masalah kritikal itu kerana ia bukan sahaja menghantui rakyat, malah menjejaskan imej ibu negara.

“Antara penyelesaiannya adalah dengan memberi perhatian khusus kepada projek tebatan banjir dan kerja penyelenggaraan sistem perparitan,” katanya.

Selain itu, Kor Ming juga mengarahkan DBKL supaya meningkatkan pencahayaan di kawasan pelancongan, di samping meraikan kepelbagaian budaya.

“DBKL perlu mengindahkan beberapa kawasan strategik di ibu negara, khususnya kawasan yang menjadi tumpuan pelancong, antaranya Bukit Bintang Walk dan Petaling Street.

“DBKL digalakkan mengadakan kerjasama bersama pihak swasta supaya tempat strategik ini setaraf dengan jalan ikon bandar raya di dunia seperti Oxford Street di London, Orchard Road di Singapore dan Ginza Street di Tokyo.

“Pemasangan lampu hiasan LED yang menjadi tumpuan pelancong wajar diadakan pada setiap musim perayaan termasuk Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Hari Deepavali dan Hari Krismas supaya ia benar-benar sepadan dengan slogan pelancongan negara ‘Malaysia, truly Asia’,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here