PENGGUNA Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) terpaksa menempuh aliran trafik yang perlahan lebih lapan kilometer berikutan berlaku kemalangan membabitkan lima motosikal berkuasa tinggi di Kilometer (KM) 26.5, sebentar tadi.
Memetik Berita Harian, Pengurus Besar Kanan ANIH Berhad, Radzimah Mohd Radzi, berkata laporan awal diterima pihaknya menyatakan nahas berlaku kira-kira jam 1.45 tengah hari menyebabkan lorong laju di lebuh raya terhalang.
“Setakat jam 2.30 petang tadi, lorong laju masih ditutup. Trafik kini agak perlahan sepanjang 8.5 kilometer dari KM35 (Genting Sempah-Gombak hingga ke lokasi kemalangan.
“Justeru kita minta semua pengguna lebuh raya supaya bersabar dan berhati-hati ketika memandu selain mematuhi arahan petugas di tempat kejadian,” katanya.
Bagaimanapun difahamkan, kejadian itu tidak meragut nyawa namun kelima-lima penunggang motosikal dilapor mengalami kecederaan parah.
Setakat ini tiada sebarang kenyataan dikeluarkan pihak polis mengenai kemalangan itu.
Terdahulu tular beberapa gambar dan rakaman video membabitkan kemalangan itu di media sosial. – Malaysiapost

