AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan dua bot nelayan bersama 11 kru warga asing yang dikesan menangkap ikan di perairan negara.
Dalam satu kenyataan hari ini, Maritim Malaysia Pulau Pinang memaklumkan bot nelayan pertama yang ditahan membabitkan bot tempatan kelas C di kedudukan 14 batu nautika barat Pulau Kendi sekitar jam 4.17 petang pada 22 Disember lalu.

Menurut kenyataan itu, sebuah lagi bot yang ditahan adalah membabitkan bot nelayan Indonesia pada kedudukan 52 batu nautika barat daya Pulau Kendi pada sekitar jam 12.10 tengahari, 24 Disember lalu dalam rondaan Op Tanjung.
“Hasil pemeriksaan mendapati, bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Pulau Pangkor, Perak itu dikendalikan oleh lima kru pendatang asing tanpa izin (PATI) iaitu tiga warga Myanmar dan dua Thailand berusia 19 hingga 52 tahun.
“Mereka juga didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah serta permit bekerja,” menurut kenyataan itu.
Maritim Malaysia Pulau Pinang turut memaklumkan semua warga asing berkenaan disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.
“Manakala hasil pemeriksaan ke atas bot nelayan asing yang berpangkalan di Belawan, Indonesia pula dikendalikan oleh enam kru warga Indonesia berumur lingkungan 24 hingga 42 tahun.
“Kesemua gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan di perairan Malaysia serta disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, kedua-dua bot serta kesemua kru ditahan dibawa di Jeti Limbongan Batu Maung sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut. – Malaysiapost

