Tapak perkhemahan Father’s Organic Farm bukan dalam senarai lokasi kritikal – JMG

0
1

JABATAN Mineral dan Geosains (JMG) Malaysia menafikan pihaknya menyenaraikan tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Jalan Batang Kali-Genting Highlands, Hulu Selangor sebagai lokasi kritikal.

Ketua Pengarahnya, Hisamudin Termidi, berkata bahawa skop pemantauan cerun kritikal JMG tertumpu di kawasan penempatan dan cerun-cerun semula jadi yang tidak bertindih fungsi dengan pihak autoriti lain.

“Merujuk cerun di kawasan tragedi runtuhan tanah di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Jalan Batang Kali-Genting Highlands, Hulu Selangor adalah tidak tersenarai dalam cerun-cerun kritikal di bawah pemantauan JMG,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan tersebut mengulas laporan media mendakwa cerun di kawasan tragedi runtuhan tanah di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Jalan Batang Kali-Genting Highlands, antara lokasi kritikal yang dikenal pasti JMG Malaysia.

Sementara itu, Hisamudin berkata, berkaitan aspek penempatan baharu atau cadangan pembangunan baharu di lereng bukit atau berhampiran cerun, ia adalah sebahagian komponen dalam kebenaran merancang yang memerlukan penilaian risiko dibuat.

“Bagi risiko yang melibatkan bencana geologi tanah runtuh, pihak pemaju perlu melantik ahli geologi profesional yang berdaftar di bawah Lembaga Ahli Geologi Malaysia membuat penilaian,” katanya.

Pada 16 Disember lalu, seramai 92 individu terbabit dalam tragedi di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm Gohtong Jaya pada 2.42 pagi, dengan 61 mangsa berjaya diselamatkan, 31 disahkan terkorban. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here