ISU-ISU berbangkit yang masih membelenggu atlet negara dan persatuan sukan kebangsaan selama ini menjadi fokus utama Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Timbalan Menteri KBS Adam Adli Abd Halim, berkata kementerian akan memberi keutamaan untuk menyelesaikan isu-isu berbangkit tersebut seperti yang diluahkan mereka dalam sesi ‘Townhall’, minggu lalu.
Katanya, isu-isu berbangkit itu merangkumi kebajikan atlet, pembangunan fasiliti sukan dan pembangunan akar umbi.
“Menerusi sesi ‘Townhall’ itu, kita mendapat gambaran yang lebih jelas tentang permasalahan yang dihadapi atlet dan persatuan sukan. Ada yang dibangkit itu adalah masalah yang berlarutan dan mungkin pernah disuarakan sebelum ini.
“Jadi, tiba masa bagi pihak kementerian untuk mengambil sikap yang lebih jelas dalam menyelesaikan isu berbangkit terutamanya membabitkan kebajikan atlet, pembangunan fasiliti dan pembangunan akar umbi.
“Kita jumpa banyak pihak iaitu persatuan sukan, atlet program podium, atlet pelapis dan termasuklah atlet para. Kita dapat perspektif yang berbeza tetapi tujuan dan matlamatnya adalah sama.
“Mereka mahu lihat kita bangunkan prestasi sukan kita bukan saja di peringkat kejohanan antarabangsa tetapi juga kejohanan tempatan. Itu yang kita banyak belajar dan ia boleh dicapai dengan pengurusan yang lebih efisyen dan tatakelola yang lebih baik,” katanya.
Adam Adli berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada dua pasukan e-sukan negara, Todak dan Haq yang akan menggalas cabaran Malaysia di Kejohanan Dunia Mobile Legends Bang Bang (MLBB) M4 di Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, hari ini.
Minggu lalu, Menteri KBS, Hannah Yeoh dan Adam Adli mengadakan sesi ‘Townhall’ bersama atlet negara dan persatuan sukan kebangsaan bagi mendapatkan maklum balas daripada mereka terutama bagi melakukan penambahbaikan untuk meningkatkan prestasi sukan negara. -Malaysiapost

