
BEKALAN air di kawasan Selangor yang terjejas sejak Sabtu lalu akibat dua Loji Rawatan Air (LRA) iaitu Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas, kini sudah pulih 55 peratus setakat jam 6 pagi tadi.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan, memaklumkan tempoh masa pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.
“Air Selangor berharap agar para pengguna yang telah mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemah bagi memastikan proses pemulihan di kawasan-kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan,” menurut kenyataan itu hari ini.
Air Selangor turut memaklumkan pemulihan bekalan air adalah berperingkat-peringkat dan dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 6 pagi, 27 Disember 2022.
“Sila rujuk aplikasi Air Selangor atau pautan http://hentitugas.airselangor.com bagi mengetahui status terkini dan anggaran waktu pemulihan bekalan air di premis saudara/saudari,” menurutnya.

Setakat ini kawasan Kuala Langat mencapai peratusan pemulihan tertinggi, iaitu sebanyak 93 peratus, manakala bekalan air di Putrajaya masih belum dipulihkan.
Sabtu lalu, sebanyak 472 kawasan di Selangor mengalami gangguan bekalan air susulan henti tugas sementara LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi akibat tumpahan pati minyak wangi daripada kemalangan lori membawa muatan itu di Lebuh Raya Elite berdekatan Bandar Serenia di Negeri Sembilan.
Sebanyak 172 kawasan terjejas di Petaling, 54 di Hulu Langat, 196 di Sepang, 27 di Kuala Langat dan 23 di Putrajaya.
Kedua-dua LRA terbabit dilaporkan kembali beroperasi semula selepas bacaan pencemaran bau (ton) merekodkan bacaan sifar sebanyak tiga kali berturut-turut. – Malaysiapost
