KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengarahkan sebuah restoran di Pandan Indah, Kuala Lumpur, ditutup 14 hari selepas tular video menunjukkan seekor tikus menjamah ayam goreng di premis berkenaan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak enam notis kompaun turut dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 kerana gagal dalam aspek penyediaan makanan bersih dan selamat.
Katanya, arahan penutupan dibuat mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983, susulan pemeriksaan oleh penguat kuasa kesihatan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Selangor serta Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat di premis itu semalam.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati tahap kebersihan makanan di premis itu tidak memuaskan.
“KKM melalui BKKM telah menjalankan siasatan berhubung video viral itu dan mengenalpasti lokasi premis di Pandan Indah.
“Hasil pemeriksaan mendapati tahap kebersihan makanan tidak memuaskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Noor Hisham KKM memandang serius isu kebersihan dan keselamatan makanan.
Justeru, beliau meminta orang ramai terutama pengusaha dan pengendali makanan menggalas tanggungjawab bersama memastikan aspek keselamatan makanan terjaga bagi mengelak keracunan dan penyakit bawaan makanan.
“Pengguna turut disarankan memilih premis makanan yang mempunyai logo BeSS (Bersih, Selamat dan Sihat) apabila membeli atau menjamu makan di luar rumah,” katanya.
Sebelum ini, KKM meminta orang ramai memberikan maklumat berhubung video menjijikkan yang memaparkan seekor tikus sedang ‘menjamah’ ayam goreng di sebuah restoran.
Video tular itu dimuat naik oleh pemilik akaun Twitter, mendakwa ia berlaku ketika sedang makan di restoran berkenaan. – Malaysiapost

