PELAKON Nad Zainal menzahirkan penghargaan terima kasihnya kepada Ungku Ismail Aziz yang sentiasa memberikannya semangat terutama ketika bertarung nyawa selama sebulan di hospital baru-baru ini.
Nad menjelaskan, Ungku Aziz yang juga seorang pelakon merupakan insan yang banyak membantunya selama ini.
“Pada waktu ini, dia individu yang rapat dengan saya. Saya sangat menghargai insan bernama Ungku Ismail Aziz,” katanya secara ‘live’ di aplikasi TikTok malam tadi.
Kemunculan Nad di TikTok merupakan pertama kali selepas sebulan dimasukkan ke hospital akibat pendarahan dalam paru-paru.
Ditanya mengenai status hubungan mereka, Nad hanya menjawab ringkas sekali gus menguatkan lagi spekulasi mengenai status sebenar hubungan mereka sebagai pasangan kekasih.
“Dia banyak membantu beri semangat dan menjawab segala spekulasi. Itu sajalah. Saya tak nak jawab lagi,” katanya.
Selain itu Nad turut menzahirkan perasaan terharunya apabila ibu bapa dan rakan-rakan tidak henti-henti bertanya khabar dan risaukan keadaan kesihatannya.
“Waktu sakit kawan-kawan terdekat begitu merisaukan keadaan kesihatan saya. Begitu juga dengan ahli keluarga.
“Keluarga saya sangat kuat. Walaupun saya anak yang degil tapi mereka tetap bersama saya.
“Sepanjang ditidurkan juga saya selalu terbayangkan wajah anak-anak dan ibu bapa saya,” katanya.
Sebelum ini, Nad dimasukkan ke Hopsital Pakar KPJ Ampang Puteri, Kuala Lumpur sejak 20 November akibat jangkitan kuman pada paru-paru. -Malaysiapost

