AGENSI Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mengeluarkan amaran kemungkinan banjir kilat di beberapa lokasi di Sabah dalam tempoh 12 jam.
Dalam satu kenyataan, Nadma memaklumkan lokasi terlibat ialah Kota Marudu, Kudat, Pitas, Sandakan dan Paitan.
Ramalan itu adalah berdasarkan maklumat daripada Jabatan Metereologi Malaysia (MetMalaysia), sistem Southeastern Asia-Oceania Flash Flood Guidance System (SAOFFGS) dan model ramalan banjir Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS).

“Terdapat risiko kejadian banjir kilat di beberapa lokasi sekiranya hujan lebat atau ribut petir yang signifikan berlaku,” kata kenyataan itu.
Menurut Nadma, notis kesiapsiagaan yang dikeluarkan pada jam 3.15 petang itu bagi membolehkan semua penduduk di kawasan berisiko berwaspada dengan sebarang kemungkinan.
Sehubungan itu, Nadma meminta penduduk mematuhi arahan pihak berkuasa dan agensi pengurusan bencana banjir. – Malaysiapost
