Skuad Prihatin Bersatu terus bantu mangsa banjir

0
1

SKUAD Prihatin Bersatu meneruskan agenda prihatin rakyat dengan bantu mangsa banjir terutama membabitkan negeri-negeri di Pantai Timur yang terjejas teruk.

Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata skuad berkenaan digerakkan secara bersepadu di Kelantan, Terengganu dan Pahang untuk menjadi jambatan penghubung bantuan dan meringankan beban mangsa

“Jentera Bersatu peringkat Negeri, Bahagian, dan sayap-sayap Srikandi, Armada, Srikandi Muda dan Bersekutu telahpun menggerakkan pasukan sukarelawan bantuan banjir untuk misi ini di semua lokasi yang terkesan.

“Skuad Prihatin Bersatu akan menjalinkan kerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan setempat, agensi pengurusan bencana banjir, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) serta pemimpin setempat.

“Ini supaya skop bantuan yang dihulurkan tidak bertindan dan boleh dikoordinasi dengan baik dan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, berkata semua peringkat kepimpinan Bersatu juga diseru memberikan perhatian sepenuhnya dalam memberikan bantuan kepada mangsa banjir, terutama fasa pertam di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan fasa kedua, gotong-royong membersihkan rumah-rumah terlibat.

“Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin juga telah meminta semua Ahli Parlimen, Senator dan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Bersatu untuk meneruskan misi bantuan kepada yang memerlukan.

“Oleh kerana cuaca masih tidak lagi menentu, rakyat disaran agar mengambil langkah berhati-hati bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here