Polis minta mangsa buli jalan raya tampil

0
1

POLIS meminta mangsa dan saksi bagi kejadian buli jalan raya yang berlaku di Petaling Jaya seperti yang tular di media sosial melalui satu rakaman video sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata pihaknya mengesan video berdurasi dua minit 20 saat itu jam 3 petang semalam yang tular di aplikasi Twitter milik akaun zabedabedoo yang telah menerima tontonan sebanyak 1.8 juta tontonan dan dikongsi 8,988 kali.

Menurutnya, video berkenaan menunjukkan tindakan seorang pemandu kereta jenis Nissan yang berlagak samseng dengan memberhentikan kenderaannya di tengah jalan dan mengeluarkan sebarang rotan panjang.

“Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya mengesahkan kejadian itu berlaku di Jalan SS 8/2, Petaling Jaya kira-kira jam 10 pagi semalam.

“Pihak Polis Petaling Jaya meminta kerjasama mangsa dan saksi yang melihat kejadian untuk hadir ke Balai Polis Petaling Jaya bagi tujuan membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mematuhi undang-undang dan tidak melakukan sebarang perbuatan jenayah.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan sebarang perlakuan jenayah boleh hubungi Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222,” katanya.

Terdahulu tular video memaparkan kejadian buli jalan raya membabitkan dua pemandu kereta jenis Nissan dan Perodua.

Berdasarkan video yang dirakam oleh penumpang belakang kereta jenis Perodua berkenaan, pembuli jalanan itu bertindak menghimpit memberhentikan keretanya sebelum kedua-dua pemandu keluar dari kereta dan berbalah di tengah jalan raya.

Kelihatan pemandu kereta Nissan berkenaan mengambil sebatang rotan panjang dan mengertak untuk melibas pemandu Perodua sebelum seorang penunggang motosikal bertindak cuba meleraikan kedua-dua pemandu terbabit. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here