Tanah runtuh: Operasi cari mangsa terakhir diteruskan pagi ini

0
1

OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) mangsa terakhir tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Genting-Batang Kali, diteruskan bermula jam 8 pagi tadi.

Terdahulu, anggota keselamatan SAR yang terdiri daripada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara berkumpul untuk taklimat ringkas.

Keadaan cuaca pagi ini dilaporkan agak baik sekali gus akan memudahkan urusan lapangan untuk menyambung semula misi mencari mangsa terakhir berkenaan yang juga seorang kanak-kanak.

Selain itu, jentera pengaut (long harm excavator) serta Unit Dron PDRM meneruskan operasi SAR di lokasi runtuhan pada pagi ini dengan harapan menjumpai mangsa hilang kali ini.

Setakat jam 8.30 pagi tadi beberapa ekor anjing pengesan K9 turut dibawa masuk ke kawasan tanah runtuh untuk meneruskan pencarian mangsa.

Semalam, empat mayat iaitu dua dewasa dan dua kanak-kanak telah ditemui pada kedalaman tujuh meter dalam gulungan khemah oleh pasukan SAR.

Bagaimanapun, pencarian mangsa yang masih hilang semalam, terpaksa ditangguhkan berikutan hujan lebat di sebelah petang.

Dalam tragedi jam 2.42 pagi Jumaat lalu itu, runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter berlaku di tapak perkhemahan itu yang terletak di Gohtong Jaya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here