‘Survival’ rakyat lagi penting daripada bina bangunan mega yang gah – PM

0
2

MEMIKIRKAN kebajikan dan ‘survival’ rakyat bawahan lebih menjadi keutamaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim buat masa ini daripada memikirkan membina bangunan mega yang gah sebagai legasi.

Beliau berkata, tanggungjawabnya memastikan golongan ini diberi perhatian sekali gus mengarahkan tindakan diambil bagi membantu rakyat, terutama di bandar besar yang ramai hidup dalam keadaan daif, selain nasib peniaga kecil serta penjaja.

“Namun segala perancangan bagi mencapai tujuan berkenaan mesti mematuhi prinsip tatakelola.

“Jangan (sebagai Perdana Menteri) mula nak fikir gedung tinggi saja. Mai (datang) PM ini, saya fikir gerai dan saya mulakan dengan gerai penjaja dan peniaga kecil mesti bersih dan cantik seluruhnya,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ilmu Perdana bersama Ahli Akademik dan Warga Institusi Pengajian Tinggi di Seri Perdana di Putrajaya, malam tadi.

Turut hadir, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Menteri Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, wakil Kumpulan 70 Profesor Melayu, Akademi Sains Islam Malaysia dan Institut Darul Ehsan.

Anwar berkata, di Kuala Lumpur, soal gerai penjaja dan peniaga kecil antara yang dibangkitkannya dalam pertemuan dengan pengurusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semalam.

Jelasnya, beliau memberi tempoh tiga bulan kepada DBKL untuk mengemukakan laporan berhubung cadangan mengindahkan gerai penjaja di sekitar kawasan bandar raya ini.

“Saya ke DBKL dan saya kata bersihkan, indahkan, pelancongan, ekonomi, tetapi mesti ikut prinsip tatakelola dan paling utama, saya nak Kuala Lumpur ini tempat gerai itu diindahkan, jangan fikir gedung tinggi sahaja.

“Saya beritahu, (dalam) tiga bulan beri laporan kepada saya macam mana nak buat. Jangan jawab tak boleh, orang tak ada, tempat tak ada, saya tidak terima, saya mahu jawapan,” katanya yang menekankan isu itu kerana tidak ingin PBT hanya memikirkan pembangunan gedung pencakar langit.

Perdana Menteri turut menjelaskan, isu kedua yang dibangkitkannya dalam pertemuan dengan DBKL adalah perumahan.

“Perumahan seperti (flat) Sri Perlis (di Bandar Tun Razak) sudah 40 tahun, satu bilik. Kita pacu pertumbuhan, cakap soal gedung dan boleh buat kota baharu di Putrajaya, tetapi rakyat kita terutama yang miskin, majoriti Melayu, duduk dalam keadaan yang sangat daif.

“Jadi saya kata cari jalan apakah dengan merobohkan dan bangunkan yang baharu? Kerajaan sekarang tidak banyak wang, tetapi keutamaan itu jelas,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kemampanan hidup masyarakat dan rakyat biasa perlu diperjuangkan oleh kerajaan, bukannya untuk Perdana Menteri, Kabinet atau parti politik.

Semalam, Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi DBKL dan menjadi lawatan kerja pertamanya ke ibu pejabat PBT itu selepas dilantik sebagai Perdana Menteri di mana beliau mendengar taklimat serta penerangan mengenai pengurusan dan hal ehwal DBKL. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here