JALAN Batang Kali-Genting, Hulu Selangor dijangka dibuka kepada pengguna motosikal dalam tempoh seminggu lagi.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, bagaimanapun laluan tersebut akan dibuka secara berperingkat kepada kenderaan lain kerana pihaknya masih melakukan pemantauan di kawasan insiden tanah runtuh terbabit.
“Kita harap (jalan) akan dibuka dalam seminggu lebih kepada pengguna motosikal. Beri peluang kepada kita untuk teliti dan tengok pergerakan tanah sebab pergerakan masih berlaku.
“Alat pengesan yang kita pasang menunjukkan masih ada lagi pergerakan tanah antara dua hingga empat milimeter (mm) yang memerlukan masa untuk pemantauan,” katanya.
Nanta berkata, semua pihak perlu beri perluang kepada pakar Jabatan Kerja Raya (JKR) melakukan kerja-kerja di kawasan insiden tanah runtuh itu kerana ingin memastikan keselamatan kepada pengguna jalan raya.
“Kita tidak mahu tergesa-gesa walaupun ada desakan daripada netizen yang mahu laluan di kawasan tanah runtuh Batang Kali dibuka dengan segera.
“Saya difahamkan pegawai JKR ketika ini juga sedang melihat pergerakan tanah yang berlaku sebab itu kita mahu lakukan yang terbaik demi menjaga keselamatan pengguna,” katanya.
Dalam tragedi awal pagi Jumaat lalu, seramai 92 individu terbabit dalam insiden yang berlaku Jumaat lalu, dengan 61 mangsa berjaya diselamatkan, 30 disahkan terkorban dan seorang lagi masih hilang. – Malaysiapost

