Cuepacs minta kerajaan laksana semula rumah mampu milik penjawat awam

0
1

CUEPACS memberikan keyakinan yang penuh kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melihat dan menyelesaikan permasalahan penjawat awam terutama isu pemilikan kediaman mampu milik.

Presidennya, Datuk Adnan Mat, berkata sejak 2018 semua pembinaan rumah mampu milik untuk kakitangan awam telah dihentikan oleh kerajaan ketika itu.

“Langkah ini dilihat menyukarkan penjawat awam untuk membeli kediaman sendiri dan terpaksa terus menghuni kuarters kerajaan atau menyewa seperti biasa,” katanya dalam kenyataan hari, hari ini.

Adnan berkata, Cuepacs berharap kerajaan dapat meneliti pembinaan rumah khusus untuk penjawat awam memandangkan masih banyak tanah-tanah kosong di Putrajaya dan seluruh negara dimiliki oleh kerajaan sendiri.

Katanya, pembinaan perumahan khusus untuk penjawat awam harus dikembalikan semula dan Putrajaya boleh menjadi lokasi pertama untuk permulaan semula projek perumahan tersebut.

“Kami tidak meminta perumahan percuma kerana kami sanggup membelinya tetapi harga yang ditawarkan oleh pemaju ketika ini sangat tidak masuk akal dengan kadar gaji semasa penjawat awam.

“Bayangkan kediaman di sekitar Putrajaya rata-ratanya bermula dengan harga RM400,000 ke atas, bagaimana penjawat awam yang kebanyakan dalam kalangan B40 dan M40 ini mampu membelinya,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan memberi potongan sebanyak 30 peratus daripada jumlah cukai taksiran untuk semua kediaman yang berharga di bawah RM300,000 di Putrajaya mulai 1 Januari ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here