DAP kecam dasar Taliban larang wanita ke universiti

0
1
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=566225541540873&set=pb.100044602951844.-2207520000..&type=3

DAP mengecam dasar bersifat ‘misogini’ atau sikap budaya kebencian terhadap wanita yang diamalkan kerajaan Taliban di Afghanistan.

Pengerusinya, Lim Guan Eng, berkata sehubungan itu DAP berharap seluruh rakyat Malaysia termasuk mereka yang pernah menyatakan keterujaan terhadap dasar tersebut, supaya menggesa larangan wanita melanjutkan pelajaran ke universiti ditarik balik.

“DAP mengecam dasar bersifat misogini oleh kerajaan Taliban di Afghanistan dan berharap seluruh rakyat Malaysia, termasuk mereka yang pernah menyatakan keterujaan terhadap Taliban akan mempertahankan hak wanita di seluruh dunia agar dasar primitif yang melarang wanita ke universiti ini ditarik balik.

“Hentikan diskriminasi jantina!,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, media antarabangsa melaporkan Taliban melarang pelajar perempuan daripada meneruskan pendidikan universiti, berkuat kuasa serta-merta.

Berdasarkan surat dikongsikan oleh jurucakap Kementerian Pengajian Tinggi, Ziaullah Hashmi, universiti swasta dan awam perlu melaksanakan larangan itu secepat mungkin serta memaklumkan kepada kementerian sebaik larangan itu dilaksanakan.

Larangan universiti itu dibuat beberapa minggu selepas gadis Afghanistan mengambil peperiksaan tamat pengajian tinggi mereka, walaupun mereka sebelum ini diharamkan dari bilik darjah sejak Taliban mengambil alih negara tahun lalu.

Mereka turut mengharamkan kanak-kanak perempuan dari sekolah rendah dan sekolah menengah, menyekat wanita daripada kebanyakan pekerjaan serta mengarahkan mereka memakai pakaian yang menutup dari kepala hingga ke kaki di khalayak ramai.

Wanita juga dilarang mengunjungi taman permainan dan gimnasium.

Taliban digulingkan pada 2001 oleh pakatan yang diketuai Amerika Syarikat (AS) kerana melindungi pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden, dan kembali berkuasa selepas AS berundur dari negara yang huru-hara itu tahun lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here